Adakah Ujian Tanda Allah Murka?

Diterjemahkan daripada buku Adab wa Qiyam oleh Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Al-Tayyib

Segala puji bagi Allah, semoga Allah melimpahkan selawat, salam, dan keberkatan kepada junjungan kita Nabi Muhammad saw. beserta keluarga serta sahabatnya.

Pada hari ini, kita lanjutkan pembahasan mengenai ujian yang sudah kita mulakan pada episod yang lalu. Di dalamnya, sudah kita katakan bahawa orang kaya dituntut untuk bersyukur. Pada hari ini, kita katakan bahawa mensyukuri setiap nikmat perlu dibuktikan dengan perbuatan. Maka, kesyukuran atas suatu nikmat tidak tepat bila dilakukan hanya dengan perkataan saja. Contohnya, kita mengulang-ulang ungkapan “segala puji bagi Allah,” atau “kami bersyukur kepada-Mu, ya Rabb,” atau, “segala kesyukuran hanya bagi Allah.” Ia tidak membawa maksud sebenar mensyukuri nikmat walaupun diucapkan ratusan kali.

Kesyukuran hakiki yang wajib dilakukan nikmat adalah dengan cara mengeluarkan sebahagian daripada nikmat yang kita miliki samada harta ataupun khidmat yang membawa manfaat. Contohnya, para doktor yang berjaya dalam meraih pendapatan yang banyak daripada kerjayanya, tanda syukurnya tidak cukup dengan kata-kata atau sumbangan harta sahaja, tetapi wajib memberikan layanan perubatan dan rawatan percuma kepada pesakit yang fakir miskin dan memerlukan. Jika setiap orang yang diberi nikmat oleh Allah SWT mengagihkan nikmatnya itu kepada orang lain – meskipun sedikit – maka akan wujud solidariti sosial dan wujud pula semua unsur asas ketahanan sosial dan ekonomi.

Di sini ada poin yang tidak banyak diketahui, iaitu keyakinan bahawa ujian tidak akan terjadi kecuali dalam bentuk musibah dan kesulitan seperti kemiskinan, rezeki yang sempit, sakit, atau kehilangan sesuatu yang sangat disayangi, dan lain-lain. Sedangkan kesenangan, keluasan rezeki, dan hidup makmur tidak termasuk ujian daripada Allah bagi hamba-Nya. Kenyataannya, tidaklah sedemikian. Kesenangan dan kesusahan, sihat dan sakit, serta semua gandingan sebegini adalah ujian daripada Allah SWT. Rujuklah firman Allah SWT yang berikut:

فَأَمَّا الْإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ ‎

Maksudnya: (Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!”[1]

Kemudian, rujuk lagi firman Allah SWT yang seterusnya:

وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ

Maksudnya: “Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”[2]

Allah SWT memberikan ujian dalam bentuk kefakiran sebagaimana Dia juga memberikan ujian dalam bentuk kekayaan. Seorang manusia boleh mendapatkan ujian dengan salah satu dari keduanya. Selaras dengan ini, Nabi SAW bersabda:

‌عَجَبًا ‌لِأَمْرِ ‌الْمُؤْمِنِ، ‌إِنَّ ‌أَمْرَهُ ‌كُلَّهُ ‌خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”[3]

Di sini timbul pertanyaan tentang kelayakan orang kaya yang bersyukur untuk mendapatkan pahala sebagaimana orang miskin yang bersabar. Kita sedia maklum bahawa pahala adalah berkait rapat dengan kesusahan atau – seperti kata orang – setimpal dengan kesusahan. Logik dan masuk akal jika Allah SWT akan memberikan kesenangan kepada orang yang sabar pada hari Kiamat untuk menggantikan kefakiran dan kesengsaraan yang pernah dialaminya selama hidup di dunia. Bagaimana hal ini boleh diaplikasikan kepada orang kaya yang bersyukur? Mana kesulitan yang pernah dialami oleh orang kaya ini sedangkan dia bergelumang dalam harta, keluasan rezeki, dan hidup yang makmur? Apa yang diganti dengan pahala pada hari Kiamat kelak?

Sebelum menjawab pertanyaan ini, kami ingin mengalihkan perhatian kepada salahfaham tentang tafsiran makna syukur yang hanya terbatas dalam satu pemahaman iaitu mengulang-ulang kata al-hamd, asy-syukr, dan al-thana’ (pujian) kepada Allah secara lisan, tidak lebih daripada itu. Tafsiran ini meskipun benar dalam hal orang miskin yang bersabar kerana tidak berkemampuan kecuali bersyukur dengan lisan, tidak berlaku bagi orang kaya yang bersyukur. Kesyukuran orang kaya tidak cukup dengan sekadar menzahirkan puja-puji kepada Allah SWT.

Sebaliknya, kesyukurannya wajar dibuktikan dalam bentuk yang setara dengan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya. Maksudnya, kesyukuran orang kaya adalah menyumbangkan harta dan menginfakkannya kepada orang-orang yang memerlukan, kaum fakir dalam kalangan keluarga dan sanak saudara, anak-anak yatim, orang-orang miskin, ibnu sabil, dan lain-lain yang disebutkan dalam al-Qur’an pada beberapa tempat, serta hadis-hadis Nabi yang tidak terkira banyaknya.

Bila kita mempertimbangkan bahawa manusia – baik kaya mahupun yang miskin – diberi fitrah oleh Allah SWT untuk mencintai dan menyimpan harta serta bersikap bakhil kepada orang lain bahkan kepada dirinya sendiri, kita tahu kesyukuran orang kaya mengandungi kesengsaraan bentuk lain yang tidak sama dengan kesengsaraan orang miskin. Ini bermakna, penderitaan dalam mengatasi kecenderungan diri, melawan arus keinginan dan kesenangan nafsu serta sifat kebakhilan yang sudah tertanam padanya. Al-Qur’an telah menyentuh hal ini pada lebih dari satu tempat. Allah berfirman:

وَأُحْضِرَتِ الْأَنفُسُ الشُّحَّ ۚ

Maksudnya: sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia.”[4]

Al-Syuhh adalah “sangat kedekut”. Sedangkan makna uhdirat adalah “diciptakan padanya tabiat ini”, yakni, dia diciptakan oleh Allah SWT lalu tabiat al-syuhh itu ditanamkan ke dalam fitrahnya. Di sini, terlihat jelas bahawa sumbangan dan infak harta dari orang kaya kepada orang lain yang tidak memberikan manfaat langsung kepada dirinya mengandung unsur kesengsaraan, kesabaran, dan kesulitan yang boleh jadi melebihi kesulitan dan kesabaran orang miskin.

Hal ini dapat difahami dalam firman Allah SWT:

وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”[5]

Dan firman-Nya:

وَأَنفِقُوا خَيْرًا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “…dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.[6]

Jelas bahawa maksud seputar keuntungan dan kejayaan yang ada pada dua ayat di atas berkisar pada kegiatan nafsu dan bagaimana menundukkannya. Tentu saja hal ini sukar. Bahkan, kita menyatakan bahawa susah payah dalam menterjemahkan kesyukuran itu kepada perbuatan yang dilakukan oleh orang kaya sama dengan susah payah orang miskin ketika perlu bersabar. Lebih jauh dapat dikatakan bahawa kesengsaraan atau kesusahan orang miskin yang sabar boleh jadi lebih ringan daripada susah payah orang kaya yang bersyukur. Ini bukan angan-anganyang berlebih-lebihan untuk menggambarkan susah payah orang kaya yang bersyukur, tetapi sebuah kenyataan yang pernah diungkapkan oleh seorang sahabat Nabi SAW, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf melalui ucapannya:

ابْتُلِينَا ‌مَعَ ‌رَسُولِ ‌اللَّهِ ‌صَلَّى ‌اللَّهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌بِالضَّرَّاءِ فَصَبَرْنَا، ثُمَّ ابْتُلِينَا بِالسَّرَّاءِ بَعْدَهُ فَلَمْ نَصْبِرْ

Maksudnya: “Kami pernah diuji bersama Rasulullah saw. dengan kesulitan dan kami sabar. Kemudian kami diuji dengan kesenangan, tetapi kami tidak sabar.”[7]

Makna hadis, sebagaimana disebutkan oleh para ulama’ yang menghuraikan hadith ini adalah, “Kami pernah diuji dengan kefakiran, kesulitan, dan siksaan lalu kami sabar. Akan tetapi, ketika dunia, kelapangan hidup, dan kenyamanan datang, kami kufur.” Yakni, kami mengkufuri nikmat dan tidak mensyukurinya.

Perlu ada rasa sakit dan penderitaan. Tugasan adalah asas kepada pahala. Tiada pahala tanpa tugasan, melainkan pahala yang dikurniakan oleh Allah SWT sebagai bentuk kemurahan-Nya. Namun, kebiasaannya pahala berkait dengan tugasan, sebagaimana hukuman berkaitan dengan pelanggaran tugasan iaitu melakukan larangan.

Sebelum menutup episode ini, kami ingin mengajukan anda sebuah pertanyaan penting.

 “Apakah ada hubungan antara jenis ujian dan keadaan seseorang samada ketaatan dan kemaksiatannya?”

Maksudnya, ujian dalam bentuk musibah dan bencana menunjukkan bahawa yang diuji adalah orang yang tidak baik, orang yang tidak soleh. Pertanyaan ini sebenarnya tidak benar. Tidak ada hubungan antara ujian dan keadaan hamba.

Kita semua tahu bahawa orang yang mendapat ujian yang paling dahsyat adalah para Nabi. Ini jelas dalam sejarah dan biografi mereka. Semua hamba Allah akan diuji, bahkan ujian itu sesuai dengan kadar kedekatannya kepada Allah SWT. Seandainya ujian yang berbentuk musibah atau bencana adalah bukti bahwa orang yang diuji adalah orang jahat, rosak, fasik, dan dimurkai oleh Allah SWT, tentu kita akan menyatakan bahawa para nabi adalah orang yang paling layak mendapatkan label itu karena mereka sering diuji. Semua ini menunjukkan tidak ada hubungan antara turunnya ujian dengan pihak yang diuji. Sebagaimana orang jahat diuji, orang yang baik juga diuji.

Terima kasih atas perhatian Anda.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

[1] Surah al-Fajr: 15.

[2] Surah al-Fajr: 16.

[3] Riwayat Muslim, no. 7692.

[4] Surah an-Nisa’: 128.

[5] Surah al-Hasyr: 9.

[6] Surah al-Taghabun: 16.

[7] Riwayat al-Tirmizi, no, 2464.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram