Akhlak dalam Islam

Diterjemahkan daripada buku Adab wa Qiyam oleh Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Al-Tayyib

Dengan nama Allah, selawat dan salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad dan seluruh keluarga dan sahabatnya.

Para penonton yang dihormati,

Episod hari ini dan episod-episod akan datang – insyaallah – akan membahaskan masalah peringatan terhadap beberapa nilai akhlak dan kebajikan insani yang mulai hilang dari masyarakat kita selama beberapa dekad yang lalu. Sejak itu, muncul pelbagai keluhan tentang perubahan yang sangat pantas, di mana kita  sebagai umat Islam dan bangsa Arab, kehilangan jati diri yang terkenal dengan murah hati, keberanian, dan toleransi.

Kami ingin membuka episod-episod ini dengan kata yang ringkas yang menjelaskan posisi akhlak dalam agama. Islam dan seluruh intipatinya seumpama akidah, ibadah, dan hukum-hakam fiqh mempunyai perkaitan yang erat dengan akhlak. Untuk menjelaskannya, kita hanya perlu merenung sejenak beberapa ayat al-Qur’an dan hadis Nabi SAW. Sebagai contoh,

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ ۗ

Maksudnya: “…sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.”[1]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”[2]

Takwa adalah makna yang mencakupi semua jenis akhlak terpuji.

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”[3]

Pembersihan (tathir) adalah membersihkan diri dari akhlak tercela, sedangkan penyucian (tazkiyah) adalah menghiasi diri dengan akhlak terpuji.

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ ‌حَجَّ ‌لِلهِ ‌فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji serta tidak melakukan perkara yang fasiq maka dia akan kembali sepertimana dia dilahirkan oleh ibunya (iaitu dalam keadaan suci bersih dari dosa).”[4]

Inilah petanda-petanda yang ringkas, yang menjelaskan bahawa keluhuran budi merupakan tujuan yang jelas, bahkan sangat jelas, serta tujuan utama tertegaknya Rukun Islam iaitu solat, puasa, zakat, dan haji. Ibadah dan akhlak dalam agama Islam adalah dua sisi matawang syiling yang tidak mungkin dipisahkan satu sama lain. Bahkan, hadis Nabi menyingkapkan pentingnya dimensi akhlak dan penyerapannya dalam Islam samada dari sudut ibadah, hukum, dan tingkah laku. Baginda SAW bersabda:

‌إِنَّمَا ‌بُعِثْتُ ‌لِأُتَمِّمَ ‌مَكَارِمَ ‌الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak diutus selain untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”[5]

Perhatikanlah sabda yang tegas daripada Nabi SAW, yang menjadikan akhlak terpuji sebagai matlamat akhir pengutusannya ke seluruh alam. Perhatikan pula bagaimana misi sucinya terjalin menyatu dengan akhlak. Bila amal ibadah membuahkan akhlak terpuji pada diri pelakunya, maka itu adalah bukti bahawa dia telah melakukannya dengan cara yang paling sempurna. Ia juga merupakan penunjuk penerimaan Allah SWT. Sebaliknya, bila dia tetap berakhlak buruk kepada sesama masyarakat, maka itu bukti terbesar bahawa ibadahnya sia-sia. Oleh kerana itu, diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda:

‌مَنْ ‌لَمْ ‌تَنْهَهُ ‌صَلَاتُهُ ‌عَنِ ‌الْفَحْشَاءِ ‌وَالْمُنْكَرِ، لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا

Maksudnya: “Siapa yang solatnya tidak menghalangnya dari perbuatan keji dan mungkar, hubungannya dengan Allah tidak akan bertambah kecuali semakin menjauh.”[6]

Kita boleh melangkah lebih jauh dalam membuktikan adanya hubungan yang tidak mungkin terpisah antara Islam dan akhlak dengan menegaskan bahwa amal ibadah seperti solat, bangun malam, puasa, dan haji jika tidak bertumpu pada sandaran akhlak, tidak akan bermanfaat bagi pelakunya pada hari Kiamat. Kelak dia akan ditinggalkan di depan pintu neraka Jahanam. Lihatlah keadaan seorang perempuan yang rajin berpuasa pada siang hari dan berjaga pada waktu malam tetapi menyakiti jiran dengan mulutnya. Puasa dan ibadah malamnya itu tidak bermanfaat sama sekali di akhirat, bahkan membawanya ke neraka. Sebaliknya, ada seorang wanita lain yang hanya puasa Ramadan dan solat fardhu lima waktu, tetapi dia menjaga lidahnya, bersedekah dengan lebihan makanannya. Perhatikanlah bagaimana akhlaknya yang terpuji itu memasukkannya ke dalam syurga. Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA bahawasanya ada seorang lelaki yang berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ، ‌إِنَّ ‌فُلَانَةَ ‌يُذْكَرُ ‌مِنْ ‌كَثْرَةِ ‌صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: ” هِيَ فِي النَّارِ “، قَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، فَإِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ قِلَّةِ صِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، وَصَلَاتِهَا، وَإِنَّهَا تَصَدَّقُ بِالْأَثْوَارِ مِنَ الْأَقِطِ وَلَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: ” هِيَ فِي الْجَنَّةِ “

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Seorang wanita dikenali dengan banyaknya solatnya, puasanya, sedekahnya, tetapi menyakiti jirannya dengan mulutnya.” Rasulullah SAW bersabda, “Dia di neraka.” Dia berkata lagi, “Wahai Rasulullah! Seorang wanita dikenali dengan sedikit puasanya, sedekahnya, solatnya. Dia hanya bersedekah sekadar dengan sisa-sisa makanannya, tetapi tidak menyakiti jirannya dengan mulutnya.” Rasulullah SAW bersabda, “Dia di syurga.”[7]

Dalam hadis juga disebutkan bahwa akhlak mulia lebih mendekatkan seseorang bersama-sama dengan Nabi SAW:

إِنَّ ‌أَحَبَّكُمْ ‌إِلَيَّ ‌وَأَقْرَبَكُمْ ‌مِنِّي ‌مَجْلِسًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَحَاسِنُكُمْ أَخْلَاقًا، الْمُوَطَّئُونَ أَكْنَافًا، الَّذِينَ يَأْلَفُونَ وَيُؤْلَفُونَ

Maksudnya: “Orang yang paling aku kasihi dalam kalangan kalian dan paling hampir denganku pada Hari Kiamat adalah yang paling baik akhlaknya, tidak mengganggu orang lain, yang berbuat baik kepada (orang lain) dan orang lain berbuat baik kepadanya.”[8]

Hadis ini adalah dalil yang tegas bahawa individu yang memiliki akhlak yang baik, mengasihi dan dikasihi kerana sifat tawadu’ dan adabnya yang lain, akan mendapat tempat yang lebih baik dari orang lain.

Para penonton,

Episod ini bukan sekadar nasihat atau seruan umum untuk berakhlak baik. Banyak hal yang sudah disampaikan dan akan disampaikan tentang perkara ini. Sebaliknya, episod ini akan berhasil mencapai tujuannya jika mampu – walaupun tempohnya singkat – untuk menyatakan kepada seorang Muslim tentang adanya kaitan yang menakjubkan antara Islam dan akhlak yang baik, termasuk dalam ibadah yang seharusnya dilakukan untuk mengharapkan redha Allah semata-mata. Ia adalah hal yang memerlukan kesedaran dan perhatian terhadap prinsip yang dilupakan oleh banyak orang. Mereka hanya mengerjakan solat, bangun malam, puasa Rejab, puasa Sya’ban, haji dan umrah berkali-kali, tetapi setelah itu tidak peduli jika menzalimi masyarakat, memakan hak mereka, menyakiti mereka, atau memperlakukan mereka dengan tidak baik.

_________________

[1] Surah al-Ankabut: 45

[2] Surah al-Baqarah: 183

[3] Surah al-Taubah: 103

[4] Riwayat al-Bukhari, no. 1521.

[5] Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, no. 20782

[6] Hadith da’if yang berada pada tahap marfu’ dan mauquf. Riwayat Abu Hatim dalam tafsirnya, no. 17340; Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, no. 11025; al-Quda’I, no. 509; Ibn Mardawayh dalam Takhrij al-Kashshaf oleh al-Zayla’I, 3/44; al-Durr al-Manthur oleh al-Suyuti, 5/279 daripada jalur Abu Mu’awiyah Muhammad bin Khazim al-Darir, daripada al-Layth, daripada Tawus, daripada Ibn ‘Abbas dengan marfu’. Pada isnadnya terdapat Layth bin Abi Salim, seorang yang da’if.

Adapun mauquf: Riwayyat al-Tabari dalam tafsirnya, 20/41; daripaad jalur al-‘Ala’ bin al-Musayyib daripada yang menyebutkannya daripada Ibn ‘Abbas secara mauquf. Isnadnya da’if kerana terdapat parawai yang tidak dinamakan. Lihat Takhrij al-Ihya’ oleh al-‘Iraqi, 1/338; al-Mujma’ oleh al-Haythami, 1/134; al-Mizan oleh al-Zahabi, 4/387.

[7] Riwayat Ahmad, no. 9676. Isnadnya hasan berdasarkan penilaian Syeikh Shu’ayb al-Arna’ut.

[8] Riwayat al-Tabarani dalam Makarim al-Akhlak, no. 6

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram