Pengerusi Majlis Hukama Muslim (MHM) Fadhilat Al-Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Al-Tayeb yang juga Syeikh Al-Azhar mengalu-alukan kedatangan Paus Francis dan pemimpin Gereja Katolik di dunia Arab ke Forum Dialog Bahrain. Prof. Dr. Ahmad Al-Tayeb menzahirkan kegembiraannya kerana dapat mengambil bahagian dalam pertemuan Gereja Katolik dengan Majlis Hukama Muslimin dalam dalam beberapa siri pertemuan sebelum ini di Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan hari ini di Bahrain.
“Pertemuan itu adalah fasa yang menarik dalam perjalanan dialog agama yang dimulakan oleh Al-Azhar dan Vatican. Pertemuan ini telah dan akan terus menghasilkan kesedaran kolektif yang semakin meningkat untuk berhadapan dengan cabaran yang kita hadapi,” kata Syeikh Al-Azhar semasa memberikan ucaptama pada pertemuan MHM dengan para pemimpin Gereja Katolik, di halaman Masjid Istana Sakhir, Bahrain pada 4 November lalu.
Imam Akbar menambah bahawa krisis utama yang sedang dihadapi dunia pada masa ini ialah krisis moral dan krisis Ateisme. Menurutnya, kebanyakan jenayah yang dialami manusia hari ini adalah hasil daripada krisis utama yang menyerang manusia dan mengawal pemikiran dan tingkah laku mereka.

Tidak hairanlah, kata Syeikh Al-Azher, ketika ini terdapat pelbagai bentuk penyelewengan dalam tingkah laku dan akhlak manusia. Terdapat desakan untuk cuba menyebarkan tingkah laku seksual yang menyimpang dan gender ketiga dalam masyarakat. Semua ini dibalut atas nama kebebasan, hak asasi manusia, kemodenan dan pencerahan.
“Penyelewengan akhlak yang ingin dikenakan oleh sesetengah orang hanyalah kebebasan yang bercelaru, cubaan untuk menghancurkan akhlak dan meruntuhkan struktur manusia dari dalam,” tegasnya lagi.
“Penderitaan dan cabaran yang dideritai dan dilalui oleh manusia hari ini tidak lain adalah akibat perbuatan manusia yang menjauhi nilai agama dan moral,” sambungnya.
Menurut Pengerusi MHM, krisis perubahan iklim juga berlaku akibat perbuatan manusia. Krisis itu adalah kesan sifat egoisme manusia, ekonomi pasaran, dan falsafah kapitalisme untuk mendapat keuntungan paling banyak walaupun terpaksa menjual segala-galanya.