Pengerusi Majlis Hukama Muslim (MHM) yang juga Syeikh Al-Azhar, Fadhilat Al-Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb menghargai usaha Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam menyebarkan nilai toleransi dan persaudaraan.
Pesan ini disampaikan oleh Fadhilat Al-Imam Al-Akbar, ketika menerima kunjungan Tuan Yang Terutama Syeikh Nahyan bin Mubarak Al Nahyan, Menteri Toleransi dan Kehidupan Bersama, Emiriah Arab Bersatu, di tempat penginapannya, di Manama, Bahrain, pada Khamis 3 November 2022.
Pengerusi MHM mengalu-alukan kedatangan Menteri UAE dan merakamkan penghargaan atas hubungan intelektual, agama, dan budaya yang sangat baik antara Al-Azhar dan UAE. Fadhilat Al-Imam Al-Akbar turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan UAE atas usaha dan langkah yang telah diambil dalam menyebarkan nilai persaudaraan dan toleransi. Kerajaan UAE dianggap telah memainkan peranan besar dalam menyokong penyelesaian pelbagai masalah umat Islam di dunia khususnya di dunia Arab.

“Usaha untuk menyelaraskan langkah dan usaha bersama terkait dialog antara agama dan dalam menyebarkan nilai toleransi dan hidup berdampingan di kalangan negara nampaknya membuahkan hasil dari hari ke hari,” kata Fadhilat Al-Imam Al-Akbar.
Sementara itu, TYT Sheikh Nahyan bin Mubarak merakamkan penghargaan yang tinggi terhadap peranan besar Sheikh Al-Azhar dalam memperbetulkan kefahaman Islam yang salah dan menyampaikan ajaran Islam yang sebenar. Syeikh Nahyan turut menghargai langkah dan usaha yang dilakukan oleh Majlis Hukama Muslimin di bawah pimpinan Syeikh Al-Azhar yang mempunyai pengaruh besar dalam mengeratkan ukhuwah sesama manusia dan menyebarkan ajaran toleransi Islam serta memerangi budaya kebencian.