UCAPAN PENUTUP
FADHILATUL IMAM AL-AKBAR
PROF. DR. AHMED AL-TAYEB
SYEIKHUL AZHAR MERANGKAP PENGERUSI MAJLIS HUKAMA’ MUSLIMIN
pada Majlis Penutupan Kongres Pemimpin Agama Samawi dan Budaya
dengan tema “Peranan Pemimpin Agama Samawi dan Budaya dalam Pembangunan Kerohanian dan Sosial Masyarakat Pasca Pandemik”
1444 Hijrah – 2022 Masihi
Segala puji dan puja bagi Allāh, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi kita Muḥammad dan ke atas keluarga serta para sahabatnya.
Semoga kedamaian, rahmat, dan berkat Allah senantiasa mengiringi anda.
Saya ingin memulakan ucapan penutup saya dengan merakamkan ucapan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Kassym-Jomart Tokayev selaku Presiden Republik Kazakhstan, rakyat Kazakhstan yang mesra, dan semua orang yang telah menyokong kongres ini dan membantu menganjurkannya dengan cemerlang.
Tidak banyak yang perlu saya tambahkan selepas kesimpulan yang dipersetujui oleh peserta kongres seperti yang dibacakan di hadapan kita dalam sidang terakhir. Saya percaya kesimpulan ini menyentuh banyak isu di mana masyarakat antarabangsa, termasuk orang miskin dan kaya, menderita akibat kesunyian dunia yang dikatakan bertamadun selain sikap acuh tak acuhnya terhadap penderitaan yang menimpa mereka yang sengsara dan miskin, yang juga merupakan penduduk majoriti di dunia kita.
Majoriti yang lemah ini terus menderita akibat penindasan sang penindas, zalim, dan sombong. Mereka yang tidak menghiraukan keadilan Ilahi dan hakikat bahawa suatu hari nanti mereka akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan.
Orang-orang zalim yang sombong itu terus menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap amaran yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul bahawa Allah bersabar terhadap orang yang zalim itu tetapi apabila tiba masanya, mereka tidak akan dapat lari dari azab-Nya yang berat. Di penghujung kongres ini, saya hanya boleh menekankan bahawa pemimpin agama tidak akan boleh mencapai matlamat mereka sehingga mereka bersatu dan memastikan pengikut mereka bekerjasama untuk mengatasi sebarang dendam kesumat sesama manusia. Ini boleh dicapai melalui:
Pertama, menghalakan aktiviti keagamaan dalam agama yang pelbagai untuk memenuhi tujuan kemanusiaan dan bukannya menyemarakkan konflik dalam kalangan agama dan penganut agama;
Kedua, mengumpulkan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi daripada setiap agama seperti belas kasihan dan kebaikan terhadap sesama manusia, tanpa mengira perbezaan yang boleh memecah-belahkan mereka, dan menyebarkannya dengan segala pendekatan dan bahasa yang ada;
Ketiga, mengamalkan pendekatan rasional untuk menyebarkan nilai-nilai kebersamaan ini, berdasarkan kecintaan kepada kebenaran, sambil mengelakkan sebarang pendekatan yang jahat untuk mempengaruhi kepercayaan orang ramai.
Ini adalah mesej Islam dan semua agama ilahi mengenai dialog global antara orang yang beragama dan orang yang tidak beragama. Ia bertitik tolak daripada fakta bahawa matlamat manusia yang ingin dicapai oleh perhimpunan dialog antara agama tidak bercanggah dengan ajaran agama sama sekali bahkan menepati objektif dan aspirasi utama setiap agama
Pengalaman saya dan saudara saya, Pope Francis dengan Dokumen Persaudaraan Insani mendorong kami untuk membawa inisiatif ini lebih jauh. Terdapat pendapat ekstrem yang cuba menghalang dialog ini dan sering menganggap bahawa ia adalah taboo untuk Syeikhul Azhar dan Ketua Gereja Katolik bertemu. Walau bagaimanapun, kerana kami mempunyai niat yang ikhlas – dalam pertemuan pertama kami – kami merasakan kami seolah-olah telah mengenali antara satu sama lain selama bertahun-tahun, begitu juga hati dan fikiran kami merangkul persahabatan secara bersama.
Allah SWT Yang Maha Kuasa menganugerahkan kejayaan dalam membentangkan Dokumen Persaudaraan Insani kepada dunia sebagai dokumen kemanusiaan pertama dalam kalangan orang Kristian, Islam, dan mereka yang tidak beragama pada zaman moden. Ini mengesahkan kesahihan teori yang sentiasa diyakini dan dipromosikan oleh Al-Azhar di mana-mana.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya adalah salah seorang yang percaya bahawa tamadun manusia – dalam semua peringkat mereka – memerlukan cahaya syurga, bimbingan para nabi, dan kebijaksanaan kitab suci. Saya yakin bahawa penawar kepada penyakit-penyakit moden manusia terutama kebutaannya untuk melihat kebenaran, tidak lagi terletak pada kemajuan materialis atau teknologi. Ia hanya boleh didapati dalam kebajikan rohani yang mana agama memainkan peranan penting dalam memastikannya untuk terus ada.
Semoga Allah SWT membantu kita menyumbang kepada kebaikan dan keselamatan seluruh umat manusia. Allah SWT memberkati anda, negara yang baik ini, dan rakyatnya yang baik hati.
Terima kasih atas perhatian anda dan semoga keselamatan, rahmat, dan keberkatan Allah menyertai anda.