Islam dan Keamanan Sejagat (1)

Artikel asal: https://www.alimamaltayeb.com/Articles/Details/54

Tidak dinafikan perihal “Keamanan Sejagat” walaupun telah banyak dibahaskan, ia tetap memerlukan lebih banyak kajian dan analisis lanjut, dek kerana definisi “Keamanan Sejagat” kelihatan amat sukar seumpama teka-teki yang payah untuk ditebak jawapannya dengan mudah, terhapus dalam timbunan kayu ukur dan hujah-hujah.

Keamanan seolah-olah tidak lagi menjadi hal yang lazim dalam kehidupan manusia. Penyokong teori keamanan juga senada dengan ahli falsafah sejarah yang menekankan bahawa keamanan adalah sebuah aturan dalam kehidupan manusia. Manakala perang dan keganasan adalah sebaliknya. Boleh jadi pakar teori peperangan berpandangan jauh apabila mereka memutuskan bahawa sejarah manusia adalah sejarah yang bersimbah darah.

Sejarah membentangkan kepada kita bahawa manusia telah lama tidak hidup dalam keamanan yang sempurna dan berkekalan, sehingga beberapa penulis Amerika merekodkan bahawa manusia sepanjang sejarah yang bertulis – hampir 3500 tahun – kekal aman hanya untuk kira-kira 268 tahun, manakala selebihnya adalah tahun-tahun yang dipenuhi dengan peperangan.[1]

Oleh itu, George Will, seorang penulis terkenal Amerika, membuat kesimpulan: “Keamanan tidak dapat melindungi dirinya sendiri tanpa peperangan.”[2]

Pasang surut pencarian akan konsep keamanan ini menggamit ramai pengkaji untuk mencarinya dalam sumber transenden lain, atau dengan kata lain: dalam sumber yang melangkaui masa dan ruang, tidak terjejas oleh alam sekitar, mahupun oleh situasi yang khusus dan sejarah yang berubah.

Apa yang saya maksudkan dengan sumber transenden adalah: Bersih daripada sebarang perubahan,  faedah, subjektivisme[3] dan tujuan jangka masa pendek mahupun panjang. Saya maksudkan di sini, agama-agama bertuhan dan teks-teks suci mereka yang kita takuti – sekarang ini – seperti burung ketakutan yang menikus di dalam sarangnya yang selamat dan mempunyai pelindung.

Adapun falsafah keamanan dalam Islam yang saya anuti sebagai agama, dan dipandu oleh cahayanya dalam kebenaran, dan kebaikan dalam  tindakan dan tingkah laku – saya nyatakan pada awalnya – bahawa segala yang diperkatakan tentang Islam dalam soal keamanan adalah sama seperti yang dikatakan tentang agama Kristian dan Yahudi.

Kepercayaan saya yang saya terima daripada Al-Quran mengajar saya – sebagai seorang Muslim – bahawa mesej Muḥammad ṣallallāhu ʿalayhi wasallam bukanlah agama yang berasingan yang bebas daripada mesej ʿĪsā, Mūsā, Ibrāhīm dan Nūḥ ʿalayhim al-salām. Sebaliknya, ia adalah penghubung terakhir dalam rantaian agama bertuhan yang satu, bermula dengan Ādam dan berakhir dengan Nabi bagi Islām [Muḥammad].

Dan bahawa mesej-mesej ini – dari awal hingga akhir – adalah sama pada konteks kandungannya, dan hanya berbeza pada praktikaliti syariatnya, kerana setiap mesej mempunyai syariat perundangan yang sesuai dengan masa dan tempatnya dan orang-orang yang beriman padanya.

Masa amat singkat untuk saya menukilkan ayat-ayat yang mengesahkan bahawa apa yang Allāh subḥānahu wa taʿālā turunkan kepada Muḥammad adalah sama seperti apa yang diwahyukan-Nya kepada Nūḥ, Ibrāhīm, Mūsā dan ʿĪsā ʿalayhim al-ṣalāt wa al-salām yang menjelaskan kepada kita kesepakatan agama tentang teras-teras utama kebajikan dan akhlak mulia, begitu juga lantunan (Sepuluh Perintah[4], Khutbah di Bukit[5], dan ayat-ayat berkaitan dengan perintah yang sama) semuanya dialunkan dalam satu nada dan satu rasa.

AL-IMAM AL-AKBAR SHAYKH DR. AHMED EL-TAYEB
Shaykh Al-Azhar dan Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin

__________________

[1] Kemungkinan besar ia diambil daripada buku “What Every Person Should Know about War” oleh Chris Hedges.

[2] Frasa “If you want peace, prepare for war (Si vis pacem, para bellum)” dipopularkan oleh George F. Will. Ia berasal daripada frasa “Igitur quī dēsīderat pācem, præparet bellum (Therefore let him who desires peace prepare for war.) yang dinyatakan oleh Publius Flavius Vegetius Renatus dalam bukunya Epitoma rei Militaris.

[3] Ia adalah aliran falsafah yang berpegang bahawa ilmu adalah subjektif dan tidak ada kebenaran yang bersifat objektif.

[4] Ia merujuk kepada 10 Perintah yang diterima oleh Moses ketika di Gunung Sinai seperti yang termaktub dalam Taurat. Ringkasannya seperti berikut

  • You shall have no other gods before Me.
  • You shall not make idols.
  • You shall not take the name of the LORD your God in vain.
  • Remember the Sabbath day, to keep it holy.
  • Honor your father and your mother.
  • You shall not murder.
  • You shall not commit adultery.
  • You shall not steal.
  • You shall not bear false witness against your neighbor.
  • You shall not covet.

[5] Ia merujuk kepada himpunan nasihat, ajaran, dan kata-kata hikmah Jesus Christ seperti yang termaktub dalam Injil Matius

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram