Pengerusi Majlis Hukama Muslimin (MHM) Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Al-Tayeb, Syeikh Al-Azhar akan berlepas ke Bahrain pada hari Khamis, 3 November 2022. Beliau dijadualkan akan menghadiri Forum Dialog Bahrain dan mempengerusikan Mesyuarat Tetap ke-16 MHM.
Forum Dialog Bahrain bertajuk “East and West for Human Coexistence” akan berlangsung selama dua hari bermula 3 dan 4 November 2022 itu bakal dihadiri juga oleh Ketua Gereja Vatican, Pope Francis serta lebih 200 ulama, pemimpin agama, dan tokoh-tokoh daripada pelbagai negara.
Pada hari pertama, Sheikh Ahmad Al-Tayeb akan mengadakan pertemuan dengan Raja Bahrain Hamad bin Khalifa, Ketua Gereja Katolik Pope Francis dan jemputan yang menghadiri Forum Dialog Bahrain.
Pada hari kedua, Al-Imam Al-Akbar dan Raja Hamad bin Khalifa, serta Pope Francis akan bersama-sama menanam pokok kurma sebagai simbolik kepentingan penghutanan semula dalam menangani fenomena perubahan iklim. Selepas itu, Raja Hamad bersama Al-Imam Al-Akbar dan Ketua Gereja Vatican akan kembali ke Forum Dialog Bahrain untuk menyampaikan ucapan dalam acara penutup. Mesyuarat Tetap kali ke-16 MHM turut akan diadakan pada petang berkenaan.
Pada hari ketiga, Al-Imam Al-Akbar akan mengadakan beberapa pertemuan dengan institusi Islam dan Kristian, canselor universiti, serta para belia di Bahrain. Beliau dijadualkan pulang daripada Bahrain pada Ahad, 6 November 2022.