Seorang pemuda bukan Muslim telah menemui saya hari Ahad lalu dan berkongsi keinginannya untuk memeluk Islam. Cuma, apa yang merencatkan hasratnya adalah khuatir ibu beliau akan bersikap dingin dan tidak merestuinya kerana sudah “masuk Melayu”.
Saya katakan, apa jua yang berlaku tetap wajib berbuat baik kepada ibu bapa. Firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.[1]
وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya: dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.[2]
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حُسْنًاۖ
Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;[3]
Walaupun berbeza agama, jadilah anak yang terbaik dan paling disayangi. Zahirkan perubahan yang lebih baik dari sebelumnya dan serlahkan nilai mulia Islam kepada kedua ibu bapa.
Populasi umat Islam di seluruh dunia adalah 1.9 billion atau hampir 25% daripada jumlah penduduk bumi. Agama Islam menghimpunkan pelbagai bangsa dan budaya dunia, di bawah satu kalimah syahadah. Kekallah dengan budaya dan bangsa masing-masing kerana Islam tidak pernah menuntut penganutnya untuk meninggalkan apa yang telah ada dalam darah daging kita.
Saya juga bawakan kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang memeluk Islam dan berhadapan dengan mogok lapar oleh ibunya yang tidak mahu beliau bertukar agama. “Biar mereka berkata kepadamu, ‘Wahai pembunuh ibumu.”, ugut ibunya yang langsung tidak mahu makan dan minum.
Tanpa putus asa, beliau tetap taat dan berbuat baik kepada ibunya. Beliau berkata: “Ketahuilah ibuku, demi Allah, jika kamu mempunyai 100 nyawa sekalipun, satu demi satu nyawa pergi, aku tidak akan meninggalkan agama ini…”
Pesan saya kepada beliau, pulanglah ke rumah dengan semangat baharu untuk bersedia menjadi Muslim dan berbakti sebaik mungkin kepada ibu bapa. Ibu bapa tidak akan ada tukar gantinya. Sekeras batu pun boleh berlekuk kerana air. Berdoalah kepada Maha Pemilik hati untuk melembutkan hati kedua-duanya.
____________________
[1] Surah al-Isra’ (23)
[2] Surah Luqman (15)
[3] Surah al-‘Ankabut (8)