Presiden Senegal Bertemu Ketua Setiausaha Majlis Hukama’ Muslimin

Ketua Setiausaha Majlis Hukama’ Muslimin, TYT Mohamed Abdelsalam telah bertemu dengan Presiden Senegal dan Pengerusi Kesatuan Afrika, Macky Sall di ibu kota Senegal, Dakar. Semasa pertemuan tersebut, mereka membincangkan usaha kerjasama dan inisiatif antara MHM dan Senegal.

Mohamed Abdelsalam melahirkan penghargaan kepada Senegal atas sambutan mesra setibanya di negara itu sambil mengulangi komitmen Majlis untuk bekerjasama dengan Senegal dalam isu berkaitan keamanan dan kewujudan bersama di benua Afrika.

Abdelsalam menambah bahawa melalui teraju Syeikh Dr. Ahmed Al-Tayeb, Imam Besar Al-Azhar, MHM komited untuk mempromosikan keamanan dalam masyarakat Islam sambil menyerlahkan mesej Islam yang benar dan bertolak ansur. Beliau juga memuji Senegal kerana menjadi model keamanan dan kewujudan bersama di Afrika, yang telah memberi inspirasi kepada MHM untuk bekerjasama dengan negara barat-Afrika untuk manfaat umat Islam di Afrika. Abdelsalam juga memuji Presiden Macky Sall atas peranannya dalam mengukuhkan kedudukan Senegal dan atas sokongannya terhadap keamanan di Afrika.

Bagi pihaknya, Macky Sall mengucapkan terima kasih kepada Abdelsalam atas lawatannya ke Senegal sambil merakamkan ucapan penghargaan kepada Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar dan Pengerusi MHM, Syeikh Dr. Ahmed Al-Tayeb dan usaha beliau dalam menyebarkan nilai-nilai keamanan dan persaudaraan insani di seluruh dunia. Beliau juga berterima kasih kepada Imam Besar atas sokongan berterusannya terhadap Senegal melalui latihan imam muda di Universiti Al-Azhar.

Presiden Senegal juga menyatakan penghargaannya terhadap usaha MHM dalam menyebarkan nilai-nilai keamanan dan kewujudan bersama di Afrika sambil mengalu-alukan kerjasama masa depan, khususnya inisiatif yang melibatkan pemerkasaan wanita.

Di hujung pertemuan, Presiden Macky Sall menyampaikan kepada Abdelsalam satu salinan bukunya ‘Senegal di Hati’. Abdelsalam turut menyampaikan kepada Presiden salinan Dokumen Persaudaraan Manusia dalam bahasa Perancis, serta salinan bukunya ‘The Pope and the Grand Imam: A Thorny Path’, yang mendokumentasikan perjalanan Majlis Tandatangan Dokumen Persaudaraan Insani 2019 oleh Syeikh Al-Azhar dan Paus Francis di Abu Dhabi, di bawah naungan Yang Mulia Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, Presiden Emiriah Arab Bersatu.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram