Rahmat Seluruh Alam

 

Artikel asal: https://www.alimamaltayeb.com/Articles/Details/41

Selama lebih dari 1400 Hijriah, muncul cahaya yang menerangi seluruh dunia, timur dan barat. Cahaya tersebut berterusan meneranginya dan juga akan memayunginya, sehingga Allah mewariskan bumi dan yang ada di dalamnya. Itulah cahaya penghulu sekalian manusia, Muḥammad SAW yang menyinari seluruh manusia. Kelahirannya adalah rahmat buat sekalian alam dan keberkatan bagi seluruh manusia.

Baginda datang kepada umat manusia sebagai petunjuk dan penyelamat kepada mereka yang dalam kegelinciran, yang mana dengan sebab itu, setiap puak dan kabilah menjadi musuh kepada tetangga mereka yang memeluk Islām. Kelompok jahiliyyah tidak mengetahui sebarang sistem mahupun peraturan bagi diri mereka, dan begitu juga mereka tidak jelas akan sebarang undang-undang buat diri mereka.

Dalam kekalutan dan 1001 wabak sosial yang mencengkam, Muḥammad SAW diutuskan dengan membawa dakwah Ilahi dan risalah ketamadunan setinggi langit dan tersebar ke seluruh alam dalam masa yang singkat, sehinggakan timbul rasa kehairanan dan ketakjuban dalam kalangan sarjana sejarah hingga ke hari ini. Nabi yang mulia ini dapat mengubah seluruh dunia — dalam masa yang singkat — daripada keadaannya yang mati, tidak membangun, huru-hara, kekacauan dan merosot kepada keadaan yang hidup, membangun, maju, bersistem serta stabil.

Boleh jadi matlamat tertinggi terutusnya Muḥammad SAW, adalah tertumpu pada matlamat yang satu iaitu sebagai ‘rahmat’ kepada seluruh alam semesta, dan untuk menyelamatkan dunia dan seisinya daripada segala apa yang hampir-hampir menimpanya seperti kekacauan, kegelapan, kekeliruan dan kesesatan. Sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada Nabi-Nya:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya:Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”[1]

Iaitu untuk membebaskan alam keseluruhannya daripada segala yang memungkinkan ia jatuh ke dalam kekacauan, kegelapan, kekeliruan dan kesesatan.

Mereka yang memahami dan mendalami Uslub al-Qasr dalam ilmu balaghah Bahasa Arab, akan mengetahui daripada ayat yang mulia ini, bahawa risalah Baginda SAW dari awal hingga akhir berkisar pada paksi rahmat dengan manusia dan bersikap ihsan dengan alam. Inilah apa yang ditekankan oleh Baginda SAW sendiri, yang menyeru umat manusia — juga dengan Uslub al-Qasr — sebagaimana sabdanya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ

Maksudnya:Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) bahawasanya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan — oleh Allah SWT kepada seluruh alam.”[2]

Penamaan Baginda sebagai ‘Nabi pembawa rahmat’ itu membezakannya dengan sekalian para Nabi kerana diluaskan rahmatnya itu meliputi seluruh alam dan tidak ada mana-mana makhluk yang bernyawa mahupun tidak bernyawa yang terhalang daripada mendapatkanya. Ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh perkataan “العَالَمِينَ” (seluruh alam) yang terdapat dalam ayat di atas. Ia tidak datang dalam bentuk kata tunggal, tetapi ia datang dalam bentuk kata jamak, supaya boleh diaplikasikan kepada semua jenis alam: (Alam manusia, haiwan, tumbuhan dan objek tidak bernyawa).

Kemudian didatangkan pula sirahnya sebagai suatu bentuk penegasan terhadap betapa luasnya dan syumulnya rahmat kenabian ini. Sesungguhnya Baginda SAW mengisytiharkan kemuliaan kedudukan seorang manusia di sisi Allah, begitu juga kehormatan dan keutamaannya berbanding makhluk-makhluk yang lain, serta menghapuskan sistem sosial yang berasaskan kepada buruh paksa dan perhambaan sesama manusia berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya:Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”[3]

Selain itu, Baginda turut mengisytiharkan larangan untuk melakukan pencerobohan terhadap orang lain, begitu juga terhadap darahnya, harta bendanya, dan kehormatannya. Malah, turut diharamkan meskipun hanya sekadar untuk menakut-nakutkan dan mengugutnya, walaupun bergurau senda. Sabda Baginda SAW:

‌مَنْ ‌أَشَارَ ‌إِلَى ‌أَخِيهِ ‌بِحَدِيدَةٍ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ تَلْعَنُهُ حَتَّى يَدَعَهُ، وَإِنْ كَانَ أَخَاهُ لِأَبِيهِ وَأُمِّهِ

Maksudnya:Sesiapa yang mengacukan besi kepada saudaranya, maka malaikat akan melaknatnya sehinggalah dia membuang besi tersebut, sekalipun orang itu ialah saudara kandungnya seibu sebapa.”[4]

Di samping itu, Baginda SAW juga ada bersabda:

‌لَا ‌يَحِلُّ ‌لِمُسْلِمٍ ‌أَنْ ‌يُرَوِّعَ ‌مُسْلِمًا

Maksudnya:Tidak halal bagi seseorang Muslim untuk menakut-nakutkan Muslim yang lain.”[5]

Selain daripada itu, Baginda SAW juga bersikap baik dan berbelas kasihan kepada para sahabatnya dan musuhnya. Inilah yang menjadi kebiasaannya terhadap setiap orang yang lemah, sama ada orang itu dekat ataupun jauh baginya. Disebutkan dalam sirahnya yang mulia bahawasanya Baginda tidak pernah memarahi pembantunya mahupun memukul sesiapapun.

Sesungguhnya Anas telah berkhidmat kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun. Baginda tidak pernah mengatakan “ah” kepadanya. Baginda tidak pernah mempersoalkan apa yang beliau kerjakan, “Mengapa beliau melakukannya?” Dan tidak juga apa yang beliau tidak kerjakan, “Mengapa beliau meninggalkannya?”

Baginda turut bergurau dengan kanak-kanak dan membuat mereka ketawa. Selain itu, Baginda juga akan turut berasa derita kerana kesakitan yang ditanggung oleh mereka. Oleh itu, Baginda akan memendekkan solat ketika mana mendengar suara tangisan bayi daripada belakangnya.

Baginda sangat membenci penipuan dan pengkhianatan. Baginda juga membenci orang yang melakukan penipuan dan pengkhianatan serta orang-orang jahat dalam satu-satu perselisihan. Sesungguhnya Baginda melarang daripada perbuatan menipu sekalipun kepada pihak musuh. Apabila Baginda memerintahkan seorang panglima kepada tenteranya, Baginda akan memberi wasiat kepadanya agar takut kepada Allah secara khusus dalam dirinya dan juga kepada sesiapa yang bersamanya dalam kalangan kaum Muslimin. Baginda pernah memerintahkan seorang panglima tentera dan bersabda kepadanya:

لَا تَـغُـلُّــوا، وَلَا تَـغْــــدِرُوا، وَلَا تُمَـثِّـلُوا، وَلَا تَقْتُـلُوا وَلِيدًا

Maksudnya: Janganlah melampaui batas (dengan mengambil harta ghanimah sebelum dibahagikan), janganlah melakukan pengkhianatan, janganlah mencacatkan mayat, dan janganlah membunuh anak-anak kecil.”[6]

Ya, inilah rahmat bagi orang-orang yang lemah, para hamba, kanak-kanak, orang-orang tua, tumbuh-tumbuhan dan haiwan, sehinggakan sekalipun semua itu berada pada tentera musuh yang membawa senjata di hadapan orang Islam.

Bukan itu sahaja, malah kebaikannya turut sampai kepada haiwan. Baginda SAW pernah melihat seekor unta yang dalam keletihan sehingga berlinang air matanya. Lalu Baginda memanggil pemiliknya dan bersabda kepadanya:

أَفَلَا تَتَّقِي اللَّهَ فِي هَذِهِ الْبَهِيمَةِ الَّتِي مَلَّكَكَ اللَّهُ إِيَّاهَا؟ فَإِنَّهُ شَكَىَ إِلَيَّ أَنَّكَ تُجِيعُهُ وَتُدْئِبُهُ

Maksudnya:Adakah engkau tidak takut kepada Allah tentang haiwan ternakan ini yang telah diberikan oleh Allah kepada engkau? Hal ini kerana sesungguhnya ia telah mengadu kepadaku bahawasanya engkau membiarkannya lapar dan membuatkannya memikul banyak barang sehingga memenatkannya.”[7]

Selain itu, Baginda juga mengkhabarkan bahawasanya Allah SWT telah mengampunkan seorang wanita pelacur dalam kalangan Bani Israil, yang melihat seekor anjing yang sedang dalam kehausan sehinggakan hampir-hampir anjing itu mati disebabkan oleh kehausan tersebut. Lalu dia menanggalkan kasutnya, kemudian dengan kasut itu dia mengambil air untuk anjing tersebut dan memberi minum kepadanya. Maka, disebabkan oleh perkara itu, dia diampunkan oleh Allah SWT.

Tambahan lagi, Baginda juga bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ لَا هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا إِذْ هِيَ حَبَسَتْهَا، وَلَا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ

Maksudnya:Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati. Maka dia masuk neraka disebabkannya. Dia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum ketika dia mengurungnya, dan dia tidak pula membiarkannya memakan haiwan-haiwan kecil yang berada di tanah.”[8]

Kita ingat sabdaan Baginda yang mengkhususkan Mesir dan rakyatnya berdasarkan kepada sabdanya:

‌فَاسْتَوْصُوا ‌بِأَهْلِهَا ‌خَيْرًا

Maksudnya:Berwasiatlah yang baik-baik dengan penduduknya.”[9]

Begitu juga Baginda SAW bersabda mengenai bangsa Qibti dalam kalangan penduduk Mesir:

اللَّهَ اللَّهَ فِي قِبْطِ مِصْرَ

Maksudnya:Takutlah kepada Allah, takutlah kepada Allah, dalam bergaul dengan kaum Qibti Mesir.”[10]

Kita hanya mampu berdoa kepada Allah, Tuhan yang Maha Suci, pada hari yang mulia ini agar umat Islam dan bangsa Arab kita, untuk bersatu dan menghadapi ancaman terorisme dalam segala bentuk dan rupanya, yang tidak dapat diragukan lagi bahawa ia merupakan penyebab kepada perpecahan kita. Kami – bangsa Arab dan kaum Muslimin – dalam keadaan kesatuan kami yang telah terobek serta pertelingkahan dan perselisihan dalam kalangan kami sendiri, menegaskan bahawa tidak ada perlindungan daripada kejahatan bala ini, mahupun jalan keluar daripada bahayanya, melainkan dengan penyatuan semula umat ini dan menyedarkan umat akan kuasa penindasan dan kezaliman yang berkomplot terhadap kehancuran umat.

__________________

[1] Surah al-Anbiyā’: 107

[2] Riwayat al-Dārimī, no. 15.

[3] Surah al-Isrā’: 70.

[4] Riwayat Muslim, no. 2616.

[5] Riwayat Abu Daud, no. 5004.

[6] Riwayat Muslim, no. 1731.

[7] Riwayat Abu Daud, no. 2549.

[8] Riwayat al-Bukhari, no. 3482 dan Muslim, no. 2242.

[9] Riwayat Muslim, no. 226.

[10] Riwayat al-Ṭabarānī, no. 561.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram