Reruai MHM Menjadi Tumpuan di Karadeniz Bookfair 2022, Turkiye

Majlis Hukama Muslim (MHM) telah menyertai Pameran Buku Arab Antarabangsa 2022 yang berlangsung di Istanbul, Turkiye pada 1 – 9 Oktober 2022. Dalam pameran ke-7 ini, MHM yang berada di Dewan 3 reruai B10 telah membawakan buku-buku bertemakan jawapan kepada salahfaham terhadap Islam, menentang naratif kebencian, perkauman, dan fanatik, serta menawarkan penyelesaian untuk menanganinya.
Selain daripada itu, buku-buku yang dipamerkan oleh MHM juga bertemakan nilai-nilai kebaikan, kasih sayang, keamanan, dan kebersamaan hidup secara harmoni dan aman sesama manusia.
Antara buku yang dipamerkan ialah Al-Hubb fi al-Qur’an al-Karim karangan Putera Ghazi Al-Hasyimi yang juga adalah anggota MHM, Al-Imam wa al-Baba wa al-Tariq al-Sa’b. Buku terbaharu MHM yang ditulis oleh Setiausaha Agung MHM, Tuan Yang Terutama Mohamed Abdelsalam ini merupakan perkongsian penulis tentang liku-liku perjalanan sebelum termeterainya Dokumen Persaudaraan Insani.
Terdapat juga kitab Ma’allah yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Ghazali, salah seorang ulama terkemuka Al-Azhar. Selain itu, terdapat kitab Al-Fatwa wa Dhawabituha: Mas’uliyyat al-Mufti wa al-Mustafti oleh Dr. Ahmad Moabbad Abdel Karim, ahli Majlis Ulama Kanan Al-Azhar.
Turut dipamerkan ialah buku-buku pemikiran, antaranya Manahij at-Tafkir fi al-‘Aqidah oleh Imad Khafaji, Hurriyat al-Fikr fi al-Islam oleh al-Sadiq Arjun, dan Al-Islam wa al-Gharb wa at-Tasamuh oleh Arnold Tylor.
Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya sepuluh kertas kerja yang ditulis oleh Pengerusi MHM, Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Al-Tayeb yang juga Syeikhul-Azhar, yang turut dipamerkan. Antara kitab-kitab para ulama’ al-Azhar yang turut tersedia adalah Muqawwimat al-Islam, Fi al-Manhaj al-Azhari, Fi al-Mushtalah al-Kalami wa al-Sufi, Nazarat fi Fikr al-Imam al-Ash’ari, al-Turath wa at-Tajdid: Munaqasyat wa Rudud, al-Qawl al-Tayyib, Hadis fi al-‘Ilal wa al-Maqasid, Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, Inna al-Din Yusr, dan lain-lain.
Seperti biasa selain pameran buku, reruai MHM turut mengadakan beberapa seminar dan diskusi umum dengan pelbagai tema kontemporari, khususnya terkait persaudaraan sesama manusia, mengukuhkan semangay kewujudan bersama dan hidup bersama secara aman.
Seminar dan diskusi umum itu telah diserikan dengan jemputan beberapa tokoh antarabangsa sebagai panel termasuk Prof. Dr. Moustafa Benhamzah (anggota MHM dan Pengerusi Majlis Ulama Tempatan di Oujda, Maghribi), Tuan Yang Terutama Mohamed Abdelsalam (Setiausaha Agung MHM), Dr. Samir Boudinar (Pengarah Eksekutif Pusat Promosi Keamanan, MHM), dan beberapa tokoh agama lain.
Penyertaan MHM dalam pesta buku antarabangsa di Turkiye ini adalah kali pertama bagi mengetengahkan misi MHM yang diterajui oleh Syeikhul Azhar, untuk menyebarkan nilai-nilai keamanan, budaya dialog, toleransi, dan membina jambatan komunikasi dan kerjasama sesama manusia tanpa mengira perbezaan.
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram