Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb selaku Syeikh Al-Azhar dan Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin menyampaikan ucapan takziah atas tragedi tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali, Selangor baru-baru ini. Ia disampaikan melalui Facebook Majlis Hukama’ Muslimin 7 jam yang lalu.
Dalam kenyataan penuh di Facebook rasmi organisasi antarabangsa yang berpusat di Emiriah Arab Bersatu itu menukilkan,
“Majlis Hukama’ Muslimin mengucapkan takziah dan menyatakan solidariti dengan Malaysia untuk mangsa tanah runtuh di Negeri Selangor. Di bawah teraju Pengerusinya Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb, Majlis Hukama’ Muslimin menyatakan solidaritinya dengan Malaysia untuk mangsa yang terkorban dalam tanah runtuh di negeri Selangor yang mengakibatkan berpuluh-puluh kematian dan kecederaan. Majlis juga mengucapkan takziah kepada rakyat Malaysia dan keluarga mangsa sambil mendoakan mereka yang cedera dapat sembuh dengan segera.”
Memasuki hari kelima, kedudukan sembilan mangsa yang hilang dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong, di sini, masih gagal dikesan.
Justeru Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tertumpu kepada timbunan tanah dan kenyataan daripada saksi.
“Sesungguhnya keprihatinan Syeikhul Azhar selaku Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin, Setiausaha Agungnya, dan seluruh anggota Majlis Hukama’ Muslimin di Emiriah Arab Bersatu terhadap tragedi tanah runtuh di Selangor menzahirkan sifat kebersamaan yang tinggi terhadap musibah yang kita hadapi…”, ujar YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga anggota Majlis Hukama’ Muslimin.
Dalam kejadian pukul 2.42 pagi Jumaat lalu itu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan berkenaan yang terletak di Gohtong Jaya.
Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dengan sembilan daripadanya masih hilang.