Zahirkan Sisi Kemanusiaan dan Kerasulan Muhammad SAW

Artikel ini adalah terjemahan ucapan Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ahli Dewan Negara merangkap anggota Majlis Hukama Muslimin dalam Bahrain Dialogue Forum pada 3 Disember 2022.

Daripada hikmah dan rahmat Allah, Dia mengutuskan kepada manusia utusan-utusan yang membawa bersama berita gembira dan peringatan. Firman Allah SWT:

أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا ۚ إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul.[1]

Allah SWT berfirman kepada Maryam tentang anaknya ‘Isa ‘alayhissalam,

هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ ۖ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِّلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِّنَّا ۚ

“Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami.”[2]

Dan apabila Allah SWT berhendak menutup risalah-risalah-Nya kepada manusia dan menyempurnakan agama bagi mereka, Dia mengutus Muhammad. Dan itu adalah rahmat bagi sekalian alam. Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.[3]

Rasulullah SAW bersabda:

‌مَنْ ‌لَا ‌يَرْحَمُ ‌لَا ‌يُرْحَمُ

Siapa yang tidak mengasihi maka dia tidak akan dikasihi.

Terkait topik berkenaan kewujudan bersama, pertamanya kita mesti menjelaskan keperibadian Muhammad (al-shaksiyyah al-muhammadiyyah) dalam dimensi kemanusiaannya, selain daripada Baginda seorang Rasul. Ini sebagaimana pengakuan Rasulullah SAW sendiri:

قل إنما أنا بشر مثلكم يوحى إلي

“Katakan: “Sesungguhnya aku adalah manusia sebagaimana kalian, diberi wahyu kepadaku…”

Saya bukan ingin menafikan salah satu sisi atau memisahkan kerasulan atau kemanusiaan tetapi ingin menyatakan bahawa pada peribadi Baginda SAW itu ada dua manifestasi yang boleh kita teladani. Sisi kemanusiaan Muhammad SAW dan sisi kerasulan Muhammad SAW wajar diletakkan di tempat yang tertinggi daripada segala segi.

Pada sisi kemanusiannya kita belajar memelihara aspek kerohanian, akhlak, moral, fitrah, dan rasional yang membentuk diri seorang Muhammad SAW. Apabila diseru oleh-Nya kepada iman, ihsan, dan takwa, maka Baginda SAW menyempurnakannya sehingga layak menjadi contoh yang paling sempurna kepada manusia. Ini kerana, takwa kepada-Nya itu terbahagi kepada dua tujuan; antara (i) manusia dengan Tuhan dan juga (ii) manusia sesama manusia.

Oleh kerana itulah agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW disifatkan sebagai al-din al-qayyim (agama yang seimbang/lurus).

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

(turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.[4]

Yakni, seolah-olah al-Qur’an dalam ayat ini menjadikan kriteria penentuan dan penilaian hukum serta ajaran itu sesuai dengann fitrah manusia sendiri. Atas asas ini, tamadun (al-hadarah) adalah keberadaan (al-hudur) dan keberadaan itu tidak datang dengan keganasan, penindasan dan paksaan tetapi dialog dan perbincangan.

Untuk dialog itu selari dengan ketamadunan, ia mesti berasaskan kaedah yang sesuai dengan fitrah kemanusiaan iaitu mengiktiraf dan menghormati individu lain, sebagaimana kita juga berhak mendapat hal yang sama.

Kita berkumpul di sini pada hari ini untuk menyeru semua pertubuhan serantau dan antarabangsa akan keperluan meneruskan dialog demi kebaikan dan manfaat bersama. Dalam dialog, kita tidak menyempitkan tetapi meluaskan apa yang perlu dan sesuai. Dialog seumpama menyelamatkan seseorang daripada rasa lapar dan dahaga yang teramat kerana nilai makanan dan air telah bertukar menjadi senjata yang memusnahkan dan mengancam diri.

Kita berada di sini di bawah naungan DYMM Al-Malik Hamad bin Isa Al Khalifa, dengan penyertaan dan kehadiran Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb, Syeikh Al-Azhar Al-Sharif merangkap Pengerusi Majlis Hukama Muslim, dan Paus Francis, Paus Gereja Katolik di samping pemimpin agama dan tokoh terkemuka daripada pelbagai negara di dunia mengharapkan keamanan akan berkunjung tiba dan kita akan hidup dalam kestabilan di setiap negara.

Persaudaraan insani menyatukan kita walaupun terdapat perbezaan . Keamanan tetap menjadi idaman setiap individu di muka bumi. Dialog damai yang positif adalah kunci untuk mencapai nilai kemanusiaan dan keamanan. Manusia dilahirkan bebas, dan Tuhan Yang Maha Kuasa menciptakan kita berbangsa-bangsa dan berpuak-puak, kita semua berkongsi keyakinan kita. Semua ajaran agama yang menyeru kepada keamanan hanya akan dicapai melalui semangay kewujudan bersama secara aman (peaceful co-existence) melalui penerimaan kepada yang lain walaupun terdapat perbezaan.

Peranan kita sebagai sesama saudara dalam kemanusiaan adalah untuk melakukan usaha terbaik untuk mencapai ini dan Kerajaan Bahrain adalah contoh buat kita semua. Kita berbangga dengan keamanan dan keharmonian Muslim dan bukan Muslim, dan inilah antara perjuangan Majlis Hukama Muslimin. Dalam meletakkan batu asas untuk mesej semua manusia, forum sebegini penting untuk masyarakat, kerana ia terkait dengan topik yang sangat penting seperti pendidikan, ekonomi, belia dan alam sekitar.

__________________

[1] Surah al-Dukhan: 5.

[2] Surah Maryam: 21.

[3] Surah al-Anbia’: 107.

[4] Surah al-Rum: 30.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram