Kebudayaan Barat Yang Menghancurkan

Diterjemahkan daripada buku Adab wa Qiyam oleh Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Al-Tayyib

Dengan nama Allah, segala puji dan puja bagi-Nya. Selawat dan salam kepada Rasulullah SAW, begitu juga keluarga dan para Sahabatnya.

Pada beberapa episod yang lalu, kita telah selesai menjelaskan makna ujian dan bagaimana ujian itu menimpa seseorang, baik dia baik mahupun sebaliknya. Selain itu, ujian yang datang dalam bentuk keburukan juga boleh menjadi kebaikan, sebagaimana kesulitan juga boleh menjadi kemudahan.

Lalu, kita sampai kepada pertanyaan yang pernah kita ajukan pada dua episod sebelum ini iaitu, “Apa hubungan bala dengan wabak COVID-19 yang sedang dialami oleh dunia pada saat ini? Hukuman atau ujian?” Daripada apa yang telah kami sampaikan, kami dapat menyatakan bahawa Allah SWT bebas melakukan apa yang Dia kehendaki terhadap hamba-Nya. Akan tetapi, di sana ada sejumlah bukti yang mendorong kita untuk meyakini bahawa apa yang sedang terjadi saat ini adalah ingatan daripada Allah SWT. Seperti yang sedia maklum, adakalanya Allah SWT menyampaikan peringatan kepada hamba-hamba-Nya untuk menakutkan mereka agar kembali dari kesesatan dan penyelewengan.

Siapa yang menelusuri – secara sejarah – keadaan peradaban Barat, baik di dunia Barat sendiri mahupun di negara-negara lain yang serupa dengannya, akan menemui sejumlah besar penyelewengan akhlak, kemanusiaan, keluarga, dan sosial yang tidak mungkin disebutkan kesemuanya dalam waktu beberapa minit ini. Akan tetapi, cukuplah bagi kita – dalam konteks ini – buku-buku tulisan bijak pandai yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab yang mengingatkan tentang adanya bahaya besar yang mengintai dunia akibat penyelewengan peradaban ini dari prinsip akhlak kemanusiaan.

Para penulis buku-buku itu berjaya membuktikan bahawa peradaban ini telah mengenepikan Tuhan, agama, akhlak, nilai-nilai keluarga, terutama pada masa-masa sekarang ini, bahkan mengenepikan semua nilai yang dibina atas fitrah Ilahi yang ditanamkan dalam jiwa manusia saat diciptakan. Sudah diketahui umum pada hari ini bahawa kita boleh menemui sejumlah tokoh Barat terkemuka dalam bidang politik yang menjadi suri teladan dan diimpikan oleh semua orang, dalam majlis keraian umum memperkenalkan teman wanitanya yang telah melahirkan anak-anaknya yang sudah membesar, sebagai tunangnya yang akan segera dikahwininya setelah hidup bersama sementara waktu dalam bentuk pertalian yang terlarang menurut kita sebagai penganut agama dan orang beriman.

Boleh jadi para penonton ada yang menyalahkan saya dan berkata: “Selesaikan sahaja masalah kamu dan abaikan orang lain.” atau “Biarkan saja peradaban itu. Pemiliknya sudah menerimanya.” Sementara itu al-Qur’an telah menegaskan:

لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ ۚ

Maksudnya: “…Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya).”[1]

Sikap seperti ini memang benar sekiranya penyelewengan itu terhad kepada negara-negara asal [Barat] dan tidak diusahakan siang dan malam untuk dipaksakan kepada bangsa-bangsa lain, terutamanya umat Islam. Dalam hal seperti ini, penolakan terhadapnya mempunyai alasan dan logiknya.

Jika Barat berpada dengan penyelewengannya lalu menutup pintu dan tidak mengajak kita menurutinya, maka kita memuji Allah yang telah menghindarkan kita semua daripada penyelewengan itu dan masalahnya pun dikira selesai. Pun begitu, pada saat ini kita sedang menghadapi serangan yang bertali arus untuk menyebarkan budaya tersebut, Kami sudah menyampaikannya dalam persidangan-persidangan antarabangsa; samada persidangan tentang kesetaraan, wanita, termasuk persidangan yang memfokuskan untuk menghapuskan perbezaan antara lelaki dan wanita yang menuntut agar wanita boleh mengahwini wanita, lelaki boleh mengahwini lelaki, untuk menggantikan istilah “perkongsian” kepada “perkahwinan” dan istilah “persaudaraan” kepada “suami dan isteri”.

Masalah negara Barat saat ini adalah ingin memaksakan kepada kita budaya yang akan merosak budaya kita, di mana kita akan tenggelam dalam lubang yang telah menenggelamkan mereka atau kita perlu melawan untuk selamat. Di sini saya teringat akan sebuah hadith yang menggambarkan bahayanya peradaban ateisme yang sedang mengepung kita. Nabi SAW bersabda:

‌مَثَلُ ‌الْقَائِمِ ‌عَلَى ‌حُدُودِ اللهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا، وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berdiri atas batas-batas Allah dengan orang yang masuk ke dalamnya adalah seperti sekelompok orang yang mengundi untuk mendapatkan tempat sebuah kapal. Sebahagiannya ada yang mendapat tempat di bahagian atas dan sebahagian lain mendapat tempat di bagian bawah. Orang-orang yang berada di bawah jika ingin mengambil air akan melewati orang-orang yang berada di atas. Maka, mereka berkata, ‘Sendainya kita melubangkan bahagian kita ini dan tidak mengganggu orang-orang yang berada di atas kita….”[2]

Hadis ini menggambarkan kekeliruan orang-orang yang menyeleweng daripada prinsip-prinsip moral kemanusiaan dan alasan-alasan yang mereka ajukan untuk menyokong kerosakan yang mereka lakukan. Mereka merasakan bahawa apa yang mereka lakukan itu untuk menghilangkan gangguan orang-orang yang berada di atas dan menjimatkan tenaga agar tidak perlu bersusah payah untuk naik dan turun untuk mengambil air.

Seterusnya, Nabi SAW bersabda:

فإن يتركوهم وما أرادوا

“Jika mereka membiarkan mereka melakukan apa yang mereka inginkan….”

Maksudnya, jika penumpang kapal membiarkan sekelompok individu itu melaksanakan rancangannya yang secara zahir untuk mewujudkan kepentingan umum, kapal akan karam bersama orang-orang itu dan semua penumpang yang ada di atas. Pun begitu, bila mereka yang berakal yang ada dalam kapal itu bergerak untuk menghentikan rancangan mereka, kapal akan selamat bersama semua penumpang yang ada di bahagian bawah dan bahagian atas.

Kita perlu membandingkan gambaran ini dengan kapal dunia pada saat ini untuk mendapatkan pelajaran dan ibrah dari hadis Nabi SAW ini, terutamanya peringatan Baginda SAW kepada orang-orang berakal yang ada di dunia pada akhir hadis:

فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا

Maksudnya: “Jika mereka membiarkan mereka melakukan apa yang mereka inginkan semuanya akan binasa. Sebaliknya, bila mereka menghentikannya, individu-individu tersebut akan selamat, dan semuanya akan selamat.”

__________________

[1] Surah al-Ma’idah: 105.

[2] Riwayat al-Bukhari, no. 2493.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram