Majlis Hukama Muslimin Temui Pemimpin Agama di Iraq

Delegasi Majlis Hukama Muslimin (MHM) telah membuat lawatan kerja rasmi ke Republik Iraq pada 14 hingga 18 Januari 2023. Lawatan ini dilakukan sebagai susulan daripada seruan Pengerusi MHM merangkap Syeikhul Azhar, Prof. Dr. Ahmad Al-Tayeb untuk memperkasakan dialog antara mazhab.
Sepanjang lawatan rasmi berkenaa, , delegasi MHM dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan dengan tokoh-tokoh agama daripada Sunni dan Syiah, untuk membincangkan langkah-langkah dan usaha memperkuat dialog antara mazhab. Sesuai dengan seruan Syeikhul Azha, pertemuan dan dialog ini juga bertujuan untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan ummah. 
Delegasi MHM akan melawat beberapa bandar di Iraq, termasuk Baghdad, Najaf dan Arbil, untuk membina jambatan komunikasi yang berkesan dengan pemimpin masyarakat di sana. Kunjungan delegasi MHM ke Iraq itu dilaksanakan sejurus selepas Syeikhul Azhar menyampaikan seruan kepada para cendekiawan Islam daripada pelbagai mazhab, untuk segera melaksanakan dialog dalaman yang serius demi mewujudkan sikap saling menghormati, dan bersatu dalam hal yang boleh disepakati bersama demi perpaduan ummah.
Dialog yang diseru oleh Pengerusi MHM itu dijalankan dengan menjunjung prinsip menjauhi perkara sensitif yang menjadi faktor perpecahan atau konflik agama dan lebih memfokuskan kepada perkara yang sama. Dialog itu juga diharapkan dapat melahirkan sikap saling memahami dalam perkara yang berbeza. 
Syeikhul Azhar turut mengajak untuk mewujudkan kesatuan yang lebih realistik, sekaligus memenuhi maqasid syariah. Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mendengar seruan yang membawa kepada perpecahan dan konflik, mengorbankan kepentingan bersama sebagai sebuah negara, dan mengeksploitasi agama untuk kepentingan kumpulan tertentu atau untuk kepentingan asing mencampuri urusan dalaman hal ehwal  negara lain. .
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram