Mantan Timbalan Setiausaha Agung PBB Seru Belia Menjadi Pendamai Sejati

Bekas Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Adama Dieng telah menyampaikan syarahan kepada peserta Forum Perintis Belia Pendamai (EPF) edisi kedua. Acara ini berlangsung pada hari ketiga EPC pada Isnin, 10 Julai 2023 di Geneva, Switzerland.
Dalam syarahannya, Dieng menjelaskan bahawa sikap menjunjung nilai ta’aruf, menerima perbezaan individu lain, dan mempercayai kepelbagaian adalah cara untuk mewujudkan keamanan yang sebenar.
Dieng yang juga anggota Majlis Penasihat Majlis Hukama Muslim (MHM) yang dipengerusikan oleh Syeikh Al-Azhar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb menyampaikan syarahan dengan tema “Pertubuhan Antarabangsa dan Usaha Membina Keamanan”. Katanya, pelaksanaan EPF kali ini bertepatan dengan berlakunya banyak krisis dan konflik di dunia. Beliau menganggap golongan muda adalah kunci untuk mengatasi krisis ini.
“Golongan muda adalah masa depan kita semua. Mereka perlu diberi kuasa dan disokong untuk menjadi pemimpin dan bertindak sebagai penggerak..” katanya.
Dieng turut menjemput 50 peserta dari 24 negara di seluruh dunia ini untuk memanfaatkan penyertaan mereka dalam EPF untuk membina hubungan baik dengan pendamai di seluruh dunia. Beliau juga mengingatkan tentang keperluan untuk menterjemah konsep dan idea kepada tindakan yang konkrit. Dieng berpesan bahawa salah satu watak yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin pendamai ialah belas kasihan dan merendah diri. Selain itu, Dieng turut mengingatkan bahawa untuk mewujudkan kehidupan yang aman, sikap adil dan saksama diperlukan. Menurutnya, keamanan dan kehidupan yang aman juga sukar dicapai tanpa usaha membasmi kemiskinan dan kebuluran.
“Masalah kemiskinan dan kebuluran sering menjadi punca utama golongan muda melakukan perbuatan berbahaya seperti pendatang tanpa izin ke negara lain,” katanya. Justeru, tambah Dieng, membiarkan mereka lemas dalam perjalanan pendatang haram tanpa memberikan bantuan kemanusiaan adalah satu jenayah.
Selain itu, bekas Timbalan Setiausaha Agung PBB itu turut membincangkan isu persaudaraan sesama manusia. Beliau mengingatkan peserta tentang kepentingan Dokumen Persaudaraan Manusia yang ditandatangani bersama oleh Syeikh Al-Azhar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb dan Ketua Gereja Katolik Vatican Pope Francis di Abu Dhabi pada 4 Februari 2019. Kedua-dua tokoh dan pemimpin agama dengan latar belakang berbeza ini menawarkan dunia nilai-nilai murni persaudaraan manusia.
Edisi kedua mesyuarat Forum Perintis Belia Pendamai berlangsung di Geneva, Switzerland bermula 6-14 Julai 2023, atas inisiatif Majlis Hukama Muslim dengan kerjasama Rose Castle Foundation dan World Council of Churches.
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram