MHM Intai Peluang Kerjasama dengan Rondine Cittadella della Pace

Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslimin (MHM) TYT Mohamed Abdelsalam telah melakukan kunjungan ke Rondine Cittadella della Pace (RCP) di Itali, Selasa pada 10 Januari 2023. Lawatan awal tahun ini adalah bagi membincangkan peluang dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Semasa lawatan itu, Abdelsalam bertemu dengan Pengerusi RCP Franco Vaccari. Kedua-duanya membincangkan kepentingan memperkukuh peranan golongan muda dalam menyebarkan budaya dialog, serta nilai toleransi dan hidup bersama.
Setiausaha Agung MHM juga mengadakan lawatan ke kota Zaman Pertengahan di Rondine. Di sana, Abdelsalam mengadakan perjumpaan dengan pelajar yang sedang belajar di RCP. Mereka datang dari beberapa negara bergolak dan pernah mengalami konflik bersenjata. Beliau menyampaikan syarahan tentang peranan penting golongan muda dalam mewujudkan keamanan dunia. Abdelsalam menjelaskan kepada pelajar bahawa MHM yang diketuai oleh Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Al-Tayeb memberi perhatian yang besar kepada golongan muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan.
Setiausaha Agung MHM turut mendengar pandangan dan input daripada mahasiswa berkaitan pengukuhan persaudaraan sesama manusia, peranan dialog agama dalam mengatasi konflik, bagaimana golongan muda boleh menjadi duta keamanan untuk diri sendiri dan masyarakat sekeliling, serta menjadi perintis dan agen perubahan dalam masyarakat dunia.  
Di akhir pertemuan itu, anak muda yang sedang menuntut di Rondine Cittadella della Pace merakamkan penghargaan kepada MHM atas peranan yang dimainkan dalam memperkukuh kehidupan yang aman. Mereka mengakui dan menyedari kepentingan Dokumen Persaudaraan Insani dan inisiatif lain yang dijalankan oleh MHM, sambil menyatakan hasrat mereka untuk menyertai dan mengambil bahagian dalam forum Shabab Sunna’ al-Salam bagi menyebarkan nilai-nilai persaudaraan dan kewujudan bersama secara harmoni dan aman.
Pertemuan itu turut dihadiri Duta Khas Itali untuk Perlindungan Kebebasan Beragama dan Duta Dialog Beragama, Andrea Benzo. 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram