MHM Malaysia – Indonesia Berhasrat Menggiatkan Kerjasama Untuk 2023

Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri selaku anggota Majlis Hukama’ Muslimin (MHM) yang juga Penasihat MHM – Malaysia telah mengadakan pertemuan dengan Dr. Muchlis M. Hanafi, Direktur Eksekutif MHM – Indonesia untuk meneroka ruang kerjasama bagi menggalakkan pemahaman dan penerimaan yang lebih baik antara masyarakat tentang isu-isu toleransi dan persefahaman antara agama di negara serumpun ini.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-duanya telah membincangkan pelbagai program dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh setiap organisasi pada tahun 2022. Mereka juga mengenal pasti peluang di mana MHM – Malaysia dan Indonesia boleh bekerjasama, seperti kempen kesedaran awam dan dialog antara agama. Selain itu, kerjasama dengan organisasi dan institusi lain di Malaysia dan Indonesia, seperti universiti dan agensi kerajaan, akan dipergiatkan untuk mengukuhkan usaha menggalakkan persefahaman antara agama dan toleransi.

Mesyuarat diakhiri dengan persetujuan kedua-dua organisasi ini yang komited untuk terus bekerjasama pada masa hadapan, dan berkongsi pengalaman bagi memperkukuh usaha menyebarkan pemikiran Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb terkait toleransi, wasatiyyah, perpaduan umat Islam dan persefahaman antara agama.

Pertemuan yang berlangsung di Jakarta, Indonesia itu dijalankan sempena kunjungan Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi membentangkan kertas kerja dalam Persidangan Alumni Universiti Arab Saudi. Dalam persidangan tersebut, Yang Berhormat Senator telah menggariskan beberapa cadangan kepada Kerajaan Arab Saudi dalam usaha memupuk toleransi antara agama, wasatiyyah dan perpaduan umat Islam di kalangan alumni universiti-universiti Arab Saudi.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram