Muhammad SAW: Dongeng atau Wujud?

DAKWAAN

Terdapat dakwaan oleh segelintir sarjana orientalis seperti Klimovich, Sven Kalisch, Yehuda D. Nevo dan beberapa nama lagi, yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak wujud dan ia hanya rekaan atau mitos dalam kalangan masyarakat Arab. Dakwaan tersebut didasarkan dengan kajian sejarah dan arkeologi.

HURAIAN

Pengutusan Nabi Muhammad SAW telah dikhabarkan dalam kitab-kitab samawi terdahulu sebagaimana firman-Nya:

وَلَمَّا جَآءَهُمۡ كِتَٰبٞ مِّنۡ عِندِ ٱللَّهِ مُصَدِّقٞ لِّمَا مَعَهُمۡ وَكَانُواْ مِن قَبۡلُ يَسۡتَفۡتِحُونَ عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فَلَمَّا جَآءَهُم مَّا عَرَفُواْ كَفَرُواْ بِهِۦۚ فَلَعۡنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ

Maksudnya: “Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Quran), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.”

Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلۡأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكۡتُوبًا عِندَهُمۡ فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ يَأۡمُرُهُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَىٰهُمۡ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَٰٓئِثَ وَيَضَعُ عَنۡهُمۡ إِصۡرَهُمۡ وَٱلۡأَغۡلَٰلَ ٱلَّتِي كَانَتۡ عَلَيۡهِمۡۚ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka.”

Kedatangan Nabi Muhammad SAW secara jelasnya di sebutkan di dalam Perjanjian Lama:

“I will raise up for them a Prophet like you from among their brethren, and will put My words in His mouth, and He shall speak to them all that I command Him.”

Penganut Kristian mentafsirkannya sebagai Jesus (‘Isa). Ada tiga kata kunci yang wajar menjadi fokus; (i) Baginda mestilah dalam kalangan saudara kepada Bani Israil (ii) Baginda sama dengan Moses (Musa)

Frasa “among their brethren” membawa maksud “dalam kalangan saudara mereka”. Ini bermaksud Nabi tersebut bukan dalam kalangan Bani Israil tetapi saudara Bani Israil. Nabi Ibrahim mempunyai dua orang anak iaitu Nabi Ishaq hasil perkahwinannya dengan Sarah manakala Nabi Ismail hasil perkahwinannya dengan Hajar.

Keturunan Nabi Ismail melahirkan bangsa Arab manakala keturunan Nabi Ishaq pula melahirkan bangsa Yahudi atau Israil. Justeru, hubungan antara bangsa Arab dan bangsa Yahudi adalah bersaudara kerana berdasarkan kepada perhubungan antara Nabi Ismail dan Nabi Ishak sebagai adik beradik tiri yang berlainan ibu tetapi satu bapa. Jesus tidak ada kaitan kerana Baginda berketurunan Israel yang berbangsa Yahudi.

Apa persamaan Moses dan Muhammad? Kedua-duanya lahir melalui hubungan lelaki dan wanita. Berbeza dengan Jesus yang lahir tanpa Maryam disetubuhi oleh sesiapa. Moses dan Muhammad berkahwin dan mempunyai anak. Berbeza dengan Jesus yang tidak berkahwin.

Moses dan Muhammad wafat sebagaimana manusia biasa sedangkan Jesus diangkat ke langit. Moses dan Muhammad juga memerintah selain diwahyukan sebagai Nabi. Sedangkan Jesus pula sebaliknya.

Hanya satu persamaan Moses dan Jesus iaitu kedua-duanya daripada Bani Isral dan hujah persamaan ini tertolak pada frasa “from among their brethren”.

Sejarah juga merekodkan pertemuan Bahira / Buhayra, seorang pendeta Kristian dengan Nabi Muhammad SAW. Beliau melihat petanda kerasulan itu yang telah dikhabarkan oleh Injil dan menasihati Abu Talib untuk membawa anak saudaranya itu pulang kerana khuatir akan keselamatannya.  Hal yang sama juga didapati pada kisah pertemuan Maysarah dengan seorang pendeta Nasrani beraliran Nestorian yang melihat Baginda SAW berteduh di bawah pokok.

Bukti juga didapati pada cop mohor Khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan (65 – 86 Hijrah), syiling dirham ‘Abd al-Malik bin ‘Abdullah (66 Hijrah), syiling dirham ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah bin ‘Amir (72 Hijrah), inskripsi Khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan (73 Hijrah), inskripsi pembinaan semula al-Haram (78 Hijrah), dua kertas papyrus  yang ditemui di Palestin bertarikh sekitar 60 – 70 Hijrah.

RINGKASAN HUJAH BALAS

  • Bukti kewujudan Nabi Muhammad SAW terdapat dalam Injil dan Taurat, digambarkan secara fizikal dan akhlak, juga latar belakangnya. Ia juga diketahui oleh sekumpulan pemerintah dan pendeta Ahli Kitab sejak sebelum kelahiran Baginda SAW.
  • Surat-surat yang dihantar oleh Baginda SAW, ukiran yang terpahat pada syiling serta batu, dan cop mohor adalah bukti penting kewujudannya

RUJUKAN

Al-Amiri, Sami. Al-Wujud al-Tarikhi li al-Anbiya’
Al-Bayhaqi. Dala’il al-Nubuwwah,
Al-Mubarakfuri, Safiyurrahman. Al-Rahiq al-Makhtum.
Holy Bible: The New King James Version.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram