Muslim Yang Bersaudara Saling Menasihati

Dalam tazkirah khas di Perak yang disampaikan sempena Hari Persaudaraan Manusia Antarabangsa, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan salahfaham berkenaan tafsiran Surah al-Baqarah ayat 256. Menurutnya,

“Jika diteliti dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti Tafsir al-Qur’an al-‘Azim misalnya, ayat berkenaan tiada paksaan dalam agama [Surah al-Baqarah ayat 256] jelas berkaitan dengan kemasukan manusia kepada agama Islam. Imam Ibn Kathir menghuraikan dengan jelas kaitan pecahan ayat “Tiada paksaan dalam agama” dengan bahagian ayat seterusnya iaitu (قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ) “Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat”, iaitu apabila telah dijelaskan dan dibuktikan kebenaran Islam itu kepada manusia, maka ia tidak perlu kepada paksaan. Ini bermakna, ayat ini tidak disesuai dipadankan dengan mereka yang sudah pun berada dalam agama Islam. Ayat ini adalah larangan paksaan kepada bukan Muslim untuk memeluk Islam.”

Persaudaraan dalam Islam bukan bermakna seorang Muslim membiarkan saudaranya bebas beragama tanpa panduan tetapi sentiasa menegur dan memandunya kepada kebenaran. Beliau membawakan dalil daripada hadith: “Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam. Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi (1847), al-Nasa’ie (2525) dan Imam Ahmad (19188).

Hari Persaudaraan Manusia Sedunia diraikan pada setiap 4 Februari setelah Ketua Gereja  Katolik, Pope Francis bersama Syeikh Al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad Al-Tayeb, menyusun Dokumen Persaudaraan Manusia untuk Keamanan Dunia dan Hidup Bersama yang diumumkan pada 4 Februari 2019. Dokumen ini memberi inspirasi kepada penubuhan Jawatankuasa Tinggi Persaudaraan Manusia yang berhasrat untuk merealisasikan persaudaraan manusia untuk keamanan dunia dan hidup bersama.

Pada Disember 2019, ahli jawatankuasa tinggi ini telah mengemukakan cadangan daripada Pope Francis dan Syeikh Dr. Ahmad Al-Tayeb kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya 4 Februari ditetapkan sebagai Hari Persaudaraan Manusia Sedunia. Perhimpunan Agung PBB kemudiannya mengisytiharkan 4 Februari sebagai Hari Persaudaraan Manusia Sedunia.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram