Sabar dengan Bala

Saya menjelaskan dalam episod lalu bahawa bagi orang yang beriman, semua ujian adalah baik. Dengan ujian itu, seorang yang beriman berpeluang mendapat pahala yang besar sebagai balasan atas kesyukuran dan kesabaran yang dilaluinya Selain itu, saya juga telah menjelaskan bahawa ujian berbentuk kemiskinan, kelaparan, penyakit, dan kehilangan orang tersayang tidak menunjukkan buruknya keadaan yang diuji. Sebaliknya, manusia terpilihlah yang biasanya mendapat ujian berat. Saya juga telah menjelaskan bahawa bala selalunya adalah jalan lurus ke syurga al-Ridhwan dan kesenangan yang abadi. Bahkan, seseorang hamba mungkin mendapat kedudukan di syurga yang sebenarnya tidak dapat dicapai dengan amalannya lalu diuji oleh Allāh sehingga berjaya mendapat kedudukan itu berkat kesabarannya menghadap ketentuan Allāh. Pada episod yang lalu, saya juga menyebutkan sabda Nabi SAW:

‌عَجَبًا ‌لِأَمْرِ ‌الْمُؤْمِنِ، ‌إِنَّ ‌أَمْرَهُ ‌كُلَّهُ ‌خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”[1]

Punca adanya kebaikan dalam ujian secara umumnya adalah kerana tercapainya kedudukan sabar dan syukur. Dua kedudukan yang tidak dapat dicapai kecuali oleh orang-orang yang beriman kepada Allah, hari akhir, pahala dan azab seksa.

Perkataan sabar dan semua kata terbitannya disebut di dalam Al-Qur’ān lebih daripada seratus kali. Semuanya berkisar pada maksud “menahan diri dalam sesuatu yang dibenci untuk mendapat keredhaan Allah”. Nabi SAW pernah menunjukkan bahawa sabar adalah asas untuk memperoleh pahala, iaitu sabar dalam menghadapi perkara yang dibenci. Baginda bersabda: 

‌وَاعْلَمْ ‌أنَّ ‌فِي ‌الصَّبْرِ عَلَى مَا تَكْرَهُ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dalam kesabaran menghadapi sesuatu yang dibenci, terkandung banyak kebaikan.”[2]

Al-Qur’ān dan Sunnah telah mengaitkan kesabaran dengan darjat yang tertinggi di dunia dan ganjaran yang paling besar di akhirat. Orang-orang yang sabar adalah pemimpin orang-orang yang bertakwa. Mereka akan diberi ganjaran dua kali. Allāh bersama orang-orang yang sabar. Selain itu, al-Quran juga mengaitkan kesabaran dengan kemenangan. Kesabaran dijadikan pilihan yang paling berguna apabila ditimpa musibah. Berkaitan dengan ini, Allāh SWT berkata:

وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرِينَ

Maksudnya: “…dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”[3]

وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۗ

Maksudnya: “…dan sabarnya kamu itu adalah lebih baik bagi kamu.”[4]

Diriwayatkan daripada Nabi SAW, bahawa Baginda pernah menyifatkan sabar dengan separuh iman.[5]

Kita harus tahu bahawa kesabaran yang diterima di sisi-Nya adalah kesabaran yang dilakukan pada masa yang tepat. Sesungguhnya kesabaran hanya berlaku pada saat pertama kali seseorang diuji. Jika keadaan psikologi orang yang diuji itu reda seiring dengan berlalunya masa atau dihiburkan oleh orang lain, dia tidak dipanggil bersabar untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Kesabaran dapat mencapai kelebihan tersebut kerana ia sangat diperlukan dalam merealisasikan harapan di dunia dan di akhirat. Sabar adalah keperluan akhirat dan dunia. Jika Allah telah menetapkan bahawa dunia ini – mengikut hukum adat – dibina di atas sistem yang beransur-ansur, setapak demi setapak, peringkat demi peringkat, maka wajarlah kesabaran adalah satu-satunya jalan bagi seseorang untuk mencapai harapan dan matlamatnya. . Petani, tukang, peniaga, saintis, pelajar, pemikir, dan lain-lain mungkin tidak menyelesaikan sesuatu pekerjaan atau mencapai matlamat tanpa kesabaran dan menunggu untuk melalui fasa-fasa yang mendahului fasa pencapaian.

Panjang lebar jika perlu menyebut kata-kata mutiara baik puisi mahupun prosa yang menggalakkan untuk bersabar dan menyatakan bahawa seseorang manusia tidak akan mencapai kegemilangan atau kejayaan melainkan dia menjadikan kesabaran sebagai wadah dalam usaha mencapai matlamat dan harapan. Ungkapan yang paling tepat dalam hal ini adalah sabda Nabi SAW:

‌حُفَّتِ ‌الْجَنَّةُ ‌بِالْمَكَارِهِ، وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ

Maksudnya: “Diliputi syurga dengan hal-hal yang tidak menyenangkan, dan diliputi neraka itu dengan syahwat.”

Begitu juga sabda Nabi ‘Isa alayhi al-salam yang menjelaskan:

إنكم لا تدركون ما تحبون إلا بصبركم على ما تكرهون

Maksudnya:  “Kalian tidak akan memperoleh apa yang kalian sukai kecuali dengan kesabaran atas apa yang kalian benci.”[6]

Tidak ada masa yang memerlukan lebih banyak kesabaran atas apa yang menimpa kita kecuali masa pandemik yang menyesakkan dada kita, menyesakkan nafas kita, menghalang kita daripada tidur, dan mengehadkan kebebasan umum dan khusus seperti ini. Pandemik ini benar-benar ujian besar yang tidak dapat diatasi melainkan dengan kesabaran dan doa yang berterusan selepas solat agar Allah redha untuk menghapuskan segala yang menimpa hamba-Nya.

—————-

[1] Riwayat Muslim, no. 7692.

[2] Riwayat Aḥmad, no. 2603.

[3] Surah al-Naḥl: 126.

[4] Surah al-Nisā’: 25.

[5] عن أنس بن مالك -رضي الله عنه- مرفوعا: الصبر من الإيمان بمنزلة الرأس من البدن.

[فر، ((الضعيفة)) (3793)] (Sangat Lemah)

Daripada Anas bin Mālik RA secara marfū’ (disandarkan kepada Nabi SAW): Sabar itu sebahagian daripada iman seperti kedudukan kepala daripada badan.

[Riwayat al-Daylamī dalam Musnad al-Firdaws. Lihat Silsilah al-Ḍa‘īfah, no. 3793]

[6] Penterjemah menemui lafaz yang hampir sama dengan teks yang dikemukakan dalam Dhamm al-Dunya oleh Ibn Abi al-Dunya. Daripada Fudayl bin ‘Iyad bahawasanya beliau menyatakan: Nabi ‘Isa alayhi al-salam bersabda:

‌إنكم ‌لن ‌تدركوا ما تريدون إلا بترككم ما تشتهون، ولا تنالون ما تأملون إلا بصبركم على ما تكرهون

Maksudnya: “Kalian tidak akan mendapatkan apa yang kalian inginkan kecuali dengan meninggalkan apa yang kalian sukai dan tidak akan mendapatkan apa yang kalian harapkan kecuali dengan bersabar atas apa yang kalian benci.)

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram