Ulasan Buku: Al-Turāth wa al-Tajdīd: Munāqashāt wa Rudūd oleh Al-Imam Al-Akbar

Oleh: Ustaz Marwan Bukhari A. Hamid
 
Jika dikecualikan muka surat berkaitan Kandungan dan Rujukan, maka buku ini sekadar 100 halaman sahaja. Sheikh al-Azhar, Imam Akbar Ahmed Tayyib mengulas secara kritikal karangan tebal berjudul al-Turath wa al-Tajdid oleh Hasan Hanafi, pemikir Mesir terkenal.
 
Sheikh al-Azhar memaparkan isi-isi utama buku Hasan Hanafi itu dan menganalisisnya. Buku-buku lainnya juga dirujuk untuk menunjukkan konsistensi pandangan Hasan Hanafi itu. Nampaknya Sheikh al-Azhar membaca dengan teliti buku itu hingga boleh mengkritik dengan tajam dan mendalam.
 
Hasan Hanafi membicarakan tentang turath (termasuk fiqh, tasawuf dan falsafah) dan masalahnya tetapi memukul rata, malah membebel panjang tanpa bukti, sekadar dengan hujah retorik. Hasan Hanafi juga mengutarakan kepentingan tajdid, tapi seolah-olah rencana untuk mengemukakan ajaran baharu sehinggakan beliau mencadangkan agar mentafsirkan kembali beberapa kata kunci termasuk iman, ilhad dan sebagainya dengan tafsiran yang bersalahan dengan nas-nas yang cukup jelas. 
 
Apa yang menarik, Ahmed Tayyib berjaya membuktikan bahawa Hasan Hanafi berbicara tanpa bukti. Bukan itu sahaja, malah intelektual kontroversi itu juga berulang kali kontradik dengan hujah sendiri. Beberapa kali saya tertawa kecil sewaktu membaca hujah-hujah Ahmed Tayyib yang membungkam Hasan Hanafi.
 
Ahmed Tayyib bukan calang-calang dalam dunia pemikiran. Kepakarannya dalam teologi dan kemahirannya dalam berinteraksi dengan turath memang membantunya untuk mengesan kesalahan fatal dalam buku Hasan Hanafi itu. Hal ini mengingatkan saya dengan Muhammad Imarah sewaktu berdebat dengan Nasr Abu Zayd hingga menyebabkan Abu Zayd  terduduk hampir tidak mengaku tulisan sendiri. Tidak cukup dengan itu, Imarah menulis panjang lebih 300 muka surat setelah membaca seluruh buku dan kertas kerja Abu Zayd.
 
Beza buku ini dengan karya Imarah itu ialah Ahmed Tayyib hanya menulis 100 halaman. Tapi 100 halaman yang berfokus. Banyak kaedah ilmiah dan cara berbahas yang saya pelajari. Ini termasuklah adab Ahmed Tayyib yang memberi gelaran sesuai kepada Hasan Hanafi sebagai tokoh senior di Mesir. Mengkritik keras sambil beradab, ini bukan mudah. Ahmed Tayyib juga menyatakan persetujuannya dengan beberapa kritikan Hasan Hanafi.
 
Buku ini salah satu keunikan wacana intelektual di Mesir. Ulama dan pemikir Islamnya membalas pemikiran dengan pemikiran. Di awal buku ini, Ahmed Tayyib mengenang sumbangan beberapa tokoh yang bergelumang dalam wacana sebegini dahulu terutamanya ‘Abbas al-‘Aqqad, diikuti dengan Muhammad al-Bahi, Muhammad al-Ghazali, Syed Qutb (terutama usahanya mengemukakan idea keadilan sosial Islam) dan juga Muhammad Baqir Sadr.
 
Ahmed Tayyib mengakhiri buku ini dengan menyebut visi pembaharuan Islam dan kaedahnya berinteraksi dengan turath. Beliau menekankan kepentingan tajdid dengan syarat membezakan antara perkara tetap dan berubah-ubah serta membezakan antara dasar-dasar agama (usul al-din) dengan ilmu usul al-din. Selain itu, beliau juga menyetujui kewujudan sebahagian masalah dalam turath yang bercanggah dengan objektif dan semangat agama, tetapi hal negatif itu sedikit jika dibandingkan dengan perkara positif. Justeru amat pelik jika hampir keseluruhannya ditolak dan disalahkan secara semberono.
 
Awalnya saya ingatkan topiknya sama dengan buku lain tentang bagaimana berinteraksi dengan turath, tapi setelah membaca, topiknya berbeza walaupun ada sebahagian persamaan. Namun, perbezaan itu menjadikan buku ini istimewa untuk dibaca dari awal hingga akhir.
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram