Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslim (MHM), Tuan Yang Terutama Mohamed Abdelsalam, menyeru pelajar dan belia untuk belajar daripada persahabatan dan persaudaraan Fadhilatul Imam Al-Akbar Syeikhul Azhar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb dengan Ketua Gereja Katolik, Pope Francis.
Menurut Abdulsalam, kedua-dua pemimpin dunia ini adalah contoh bagaimana individu daripada latar belakang dan agama yang berbeza dapat menjalin persahabatan dan mengubah wajah dunia. Mesej ini telah disampaikan oleh Abdulsalam semasa menyampaikan ucapan di persidangan “Mempromosikan Perpaduan Antara Agama” anjuran Universiti Georgetown dengan kerjasama MHM dan Higher Committee of Human Fraternity.

Persidangan ini dihadiri lebih 100 orang pelajar daripada pelbagai negara di dunia dan berlangsung di Universiti Georgetown, Amerika pada 19 September 2022. Matlamatnya adalah untuk membina solidariti dan persaudaraan berlandaskan Dokumen Persaudaraan Insani yang ditandatangani oleh Pengerusi MHM merangkap Syeikhul Azhar Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb dan Ketua Gereja Katolik Sri Pope Francis pada 4 Februari 2019 di Abu Dhabi. Penandatanganan dokumen itu disokong penuh oleh Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
“Saudara-saudara sebagai generasi muda, saya berharap dapat meninggalkan persidangan ini dengan harapan baru, semangat baru, untuk mempromosikan persaudaraan sesama manusia dan persefahaman bersama dengan selain daripada kita. Kita mesti melihat mereka sebagai saudara atau saudari kita dalam kemanusiaan…”, kata Abdulsalam.
Dalam kesempatan yang sama, Menteri Hal Ehwal Belia Emiriah Arab Bersatu, Shamma Al Mazroui, berkongsi kisah usaha pengasas Emiriah Arab Bersatu bagi mengeratkan persaudaraan sesama manusia.
“Saya gembira untuk berkongsi cerita dan pengajaran yang memberi inspirasi daripada perjalanan pengasas UAE Sheikh Zayed bin Sultan kepada pelbagai kumpulan pelajar di Universiti Georgetown. Perjalanan hidupnya menjadi contoh yang wajar dicontohi dalam mengeratkan hubungan persaudaraan atas nama kemanusiaan,” katanya.
“Legasi beliau dalam menyebarkan kasih sayang dalam kalangan bangsa dan individu di kalangan kita semua akan dikenang dan diterima turun-temurun,” sambungnya.
Dalam persidangan ini, Pengerusi MHM Prof. Dr. Ahmad Al-Tayeb, Syeikh Al-Azhar, turut menyampaikan ucapan melalui rakaman. Turut hadir sebagai penceramah, Ketua Jabatan Dialog Antara Agama di Holy See Cardinal Miguel Angel Ayuso Jaixot, bekas Rektor Universiti Al-Azhar Prof. Dr. Hussein Al-Mahrasawy, dan Felo Penyelidik Kanan di Universiti Georgetown di Pusat Penyelidikan Agama, Keamanan Berkeley, di Universiti Georgetown Catherine Marshall. Turut hadir ialah Rektor Universiti Georgetown, John Joseph DeGioia, dan Naib Canselor untuk Penglibatan Global dan Pengarah Pusat Keamanan, Berkeley Thomas Banshoff.