Fahami Peranan Sebenar Pemimpin Agama di Era Moden

Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb, Syeikhul Azhar merangkap Pengerusi Majlis Hukama Muslimin telah menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Kongres Pemimpin Agama Samawi dan Budaya ke-7 di ibu negara Kazakhstan, Nur-Sultan. Persidangan pada tahun ini membawa tema “Peranan Pemimpin Agama Samawi dan Budaya dalam Pembangunan Rohani dan Sosial Masyarakat Pasca Pandemik”. Ia turut dihadiri oleh Pope Francis, Paus Gereja Katolik dan ramai lagi para pemimpin agama dari serata dunia.

Pada permulaan ucaptamanya, Al-Imam Al-Akbar berkata, “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Presiden, atas jemputan untuk saya menyertai kongres penting ini, yang diadakan hari ini di negara yang bertuah ini. Kami berdoa kepada Allah, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Kuasa, agar kongres ini akan menjadi bekal yang berharga dan satu lagi langkah ke hadapan di atas jalan persaudaraan manusia, kewujudan bersama, dan kedamaian yang dunia kita kurang hari ini; sama seperti pesakit yang sangat sakit, amat mengharapkan ubat untuk rawatan yang akan menamatkan kesakitan dan konfliknya.”

 

Katanya lagi, “Ia sama seperti dunia yang mula pulih daripada kesan pandemik Coronavirus, yang telah meragut nyawa hampir 15 juta orang. Hampir-hampir dunia tidak mampu bangkit dari mimpi buruk wabak ini yang turut ditenggelami oleh wabak dan bencana lain seperti pencemaran alam semula jadi, masalah politik, dan ekonomi yang disebabkan oleh manusia, dengan sikap egoisme, cita-citanya yang besar, dan jiwanya yang bermasalah.”

“Saya rasa saya tidak perlu mengingatkan anda tentang kengerian dan ketakutan yang dialami manusia hari ini kerana perubahan mendadak alam semula jadi dan iklim, yang menatijahkan peningkatan suhu, kebakaran hutan, dan peningkatan paras laut yang berisiko untuk membanjiri seluruh bandar. Perubahan iklim juga menyebabkan sungai kering dan banyak makhluk hidup musnah, krisis tenaga di samping masalah lain yang kita sendiri terbaca di media sosial siang dan malam. Lebih-lebih lagi, baru-baru ini kita telah dipengaruhi oleh dasar angkuh yang menggoyahkan tonggak ekonomi global, melemparkan negara kaya dan miskin sama-sama ke dalam kegawatan yang teruk dan tidak dijangka serta menjejaskan mata pencarian rakyat, apatah lagi menakutkan dan membunuh orang yang tidak bersalah.”, ujar beliau dengan tegas.

Dia menambah, “Saya tidak perlu mengingatkan anda tentang kengerian ini, kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan kita, yang hanya orang kaya yang lalai sahaja yang tidak menyedarinya. Tetapi saya mengingatkan anda bahawa bencana ini adalah kerja buat sesama manusia dengan sengaja dan angkuh kerana tidak mempedulikan orang lain. Sungguh menyakitkan bahawa agama, dengan syariat dan akhlaknya yang membimbing perjalanan tamadun, dinafikan dan dicemuh oleh tamadun moden kita.”

Beliau terus memberi amaran, “Tamadun moden kita telah mengenepikan agama secara tidak sengaja, menggantikannya dengan agama lain yang berasaskan kekufuran dan ateisme. Kedua-dua malapetaka ini telah menatijahkan kebebasan individu, sikap penting diri, menyembah keseronokan dan hawa nafsu, dan kebebasan seksual. Semua ini didanai dengan lengkap untuk mempengaruhi minda golongan muda, menyeru mereka untuk meninggalkan konsep ‘keluarga’. Kempen sebegini cuba meyakinkan golongan muda bahawa ‘perkahwinan’, seperti yang diketahui oleh manusia sejak Allah menciptakan Bumi dan mereka yang tinggal di atasnya sehingga kini, tidak lain adalah penipuan besar yang tidak sesuai untuk generasi baru. Mereka berhujah bahawa golongan muda mesti membebaskan diri mereka daripada rantai di mana agama dan adat resam manusia telah ‘memenjarakan’ mereka. Seorang wanita tidak boleh malu untuk berkahwin dengan wanita lain atau mempunyai lebih daripada seorang suami, dan seorang lelaki boleh melakukan perkara yang sama. Seruan ini tidak boleh diterima, bahkan untuk haiwan dan binatang, apatah lagi untuk orang yang berhati bersih dan fikiran yang waras!”

Beliau mengkritik gerakan Pencerahan (Enlightenment) dengan katanya: “Mungkin anda akan bersetuju dengan saya bahawa kemajuan sains dan falsafah, dan pembangunan teknologi dan sosial yang menandakan tamadun hari ini, tidak lagi mampu menghentikan kemerosotan moral dan manusia ini. Tambahan pula, ahli falsafah Pencerahan telah kehilangan ‘taruhan’ mereka bahawa kemajuan sains dan teknologi menjamin keamanan dunia akan seiring dengan dunia yang bertamadun.”

Beliau turut menegur halatuju Barat pada hari ini yang dilihat telah tersasar jauh daripada fokus sebenar sebuah tamadun. Katanya, “Kami mengakui bahawa tamadun Barat telah membuat anjakan jauh ke hadapan untuk  manusia dalam dua abad yang lalu, dengan pencapaian yang luar biasa dalam bidang sains, industri, perubatan, pendidikan, seni, budaya, pengangkutan dan komunikasi, perjalanan angkasa lepas, dan banyak lagi. Kami mengakui semua ini, tetapi kerosakan kerohanian dan ketiadaan dimensi moral dari kehidupan manusia moden, serta ejekan yang disengaja dan direncanakan terhadap risalah agama, telah mengosongkan tamadun ini dari nilai sebenar yang mungkin ada.”

Beliau seterusnya berkata, “Peranan penting dalam menghadapi kejatuhan tamadun ini jatuh – pada mulanya – terletak pada pundak para ulama dan pendeta gama. Peranan kita terdiri daripada menghidupkan semula mesej agama, mengajarkan akhlak dan kebajikan yang kaya dengan mesej-mesej ini, yang merupakan usaha memperbaharui perjalanan manusia, dan menghidupkan semula apa yang hanya boleh kita gambarkan sebagai mayat yang sudah membusuk. Halangan pertama ini adalah ketiadaan ‘keterbukaan’ atau dialog bersama yang nyata antara pemimpin agama itu sendiri.”

Al-Imam Al-Akbar turut menafikan desas-desus yang dinisbahkan kepadanya dengan menjelaskan, “Apabila saya menyeru keutamaan berdamai antara agama, saya tidak bermaksud menggabungkan agama menjadi satu agama. Seruan seperti itu tidak akan disebarkan oleh orang yang berakal. Orang yang beragama, tanpa mengira agamanya, tidak akan menerima idea berkenaan. Saya percaya bahawa menggabungkan agama menjadi satu akan menatijahkan idea yang merosakkan, meragut agama daripada asal-usulnya. Jelas, ia adalah fantasi yang tidak masuk akal, tidak dapat dibayangkan dan mustahil untuk dipraktikkan. Kerana itu adalah kehendak Tuhan bahawa Dia telah menetapkan untuk setiap kita, syariat dan manhaj yang jelas. Apa yang saya nyatakan adalah untuk mengambil tindakan serius untuk mempromosikan nilai bersama antara agama, khususnya usaha saling mengenali dengan cara beradab, saling menghormati dan hidup harmoni antara manusia.”

Beliau turut menggesa satu pertemuan khas dan tertumpu dalam kalangan pemimpin agama untuk membincangkan peranan dan tanggungjawab mereka terhadap bencana moral dan alam yang mengancam masa depan. Dengan sejumlah 108 pemimpin agama samawi dan budaya dari 60 negara berbeza, Kongres Pemimpin Agama Samawi dan Budaya yang diadakan setiap tiga tahun di Kazakhstan dianggap sebagai salah satu acara dialog antara agama yang paling penting di dunia. Kongres tersebut bertujuan untuk mempromosikan nilai agama yang sederhana sambil memerangi sikap tidak bertoleransi dan ekstremisme.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram