Majlis Hukama Muslimin (MHM) yang dipengerusikan oleh Fadhilatul Imam al-Akbar Prof. Ahmed Al-Tayeb, Syeikhul Azhar akan mengadakan Mesyuarat Tetap MHM ke-16 di Manama, Bahrain pada 4 November 2022.
Sesi MHM ini akan membincangkan isu-isu kontemporari umat Islam yang mendesak dan mendapatkan sokongan dan bantuan alternatif kepada umat Islam yang amat memerlukan. Selain itu, Mesyuarat Tetap MHM sesi ke-16 juga akan membincangkan isu umat Islam di negara Barat, krisis kemanusiaan yang berlaku segenap pelusuk dunia serta cabaran mereka. Ia juga membincangkan peranan tokoh agama dan pemimpin dalam menangani krisis perubahan iklim serta kaedah mempromosikan nilai dan budaya dialog antara pelbagai aliran dalam Islam, hubungan Islam dan Kristian, dan usaha untuk menggalakkan dialog antara agama. .
Mesyuarat itu juga bakal membincangkan propaganda yang menyasarkan umat Islam untuk melakukan tingkah laku terpesong dan bertentangan dengan fitrah manusia, usaha meruntuhkan nilai agama, dan menggugat kefahaman dan konsep kekeluargaan khususnya dalam kalangan anak muda.
Pengerusi Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Bahrain, Sheikh Abdul Rahman bin Muhammad Al Khalifa, dalam keterangannya pada Sabtu, 29/10/2022 menyatakan bahawa Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa dan rakyat Bahrain menyambut baik hasrat MHM untuk mengadakan Mesyuarat Tetap ke-16 di Bahrain. Kerajaan dan rakyat Bahrain menyokong sepenuhnya semua resolusi yang akan diputuskan pada pertemuan itu, terutamanya kepentingan mempromosikan kewujudan bersama masyarakat secara harmoni (coexistence), mempromosikan keamanan dan kehidupan yang aman, dan persaudaraan sejagat.
Mesyuarat Tetap kali ke-16 MHM diadakan serentak dengan penganjuran Forum Dialog Bahrain bertemakan “Timur dan Barat untuk Kewujudan Bersama Manusia”. Selain dihadiri oleh Syeikhul Azhar, Forum Dialog Bahrain itu juga akan dihadiri oleh Ketua Gereja Katolik di Vatican, Pope Francis dan ramai tokoh agama dari pelbagai pelusuk dunia.
YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dijadualkan untuk menghadiri mesyuarat berkenaan selaku anggota MHM dan membentangkan kertas kerjanya dalam Forum Dialog Bahrain kelak.