Diterjemahkan daripada buku Al-Qawl al-Tayyib oleh Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Al-Tayyib
Mungkin Mesir adalah salah satu negara terawal yang mengalami keganasan pada masa yang agak awal, berbanding dengan negara-negara dunia Arab dan Timur Tengah. Tragedi keganasan yang paling menonjol di Mesir pada masa itu adalah pembunuhan bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat pada tahun 1981. Kemudian bermula musim panas tahun 1992, Mesir dan beberapa negara Arab seperti Algeria menyaksikan gelombang keganasan yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 1992 hingga 1997, tahun di mana merosotnya fenomena keganasan disebabkan kawalan keselamatan yang diperketatkan.
Sehingga itu, dunia Arab dan dunia Barat – khususnya Amerika Syarikat – mempunyai pandangan yang berbeza tentang keganasan. Boleh dikatakan pada tahun 1998, terdapat usaha merapatkan antara dua pandangan tersebut, selepas penubuhan World Islamic Front for Jihad Against Jews and Crusaders yang dipercayai menjadi dalang di sebalik pengeboman Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kenya dan Tanzania pada Ogos tahun berkenaan. Pun begitu, perbezaan antara keduanya kekal jelas berkenaan sifat sejagat pada fenomena keganasan sebagaimana yang dilihat oleh dunia Arab, atau bersifat tempatan (hanya dunia Arab dan Islam) sebagaimana yang dianggap oleh dunia Barat dan Amerika Syarikat.
Dunia Arab melihat punca kepada fenomena keganasan ini menjurus kepada beberapa faktor utama iaitu kefahaman yang menyeleweng oleh segelintir kumpulan dalam Islam dan pendanaan dalam bentuk kewangan dan keilmuan, disamping kelemahan Barat dalam keseriusan mengendalikan keganasan dengan pendekatan yang mendalam serta pengabaiannya disebabkan kesan yang berbahaya. Barat dan masyarakatnya pernah juga berkongsi pandangan yang sama. Walaubagaimanapun, pandangan yang lebih berpengaruh dalam lingkungan Barat dan pentadbiran Amerika Syarikat adalah terfokus kepada faktor Islam/Arab. Faktor-faktor yang mendepaninya adalah kebangkitan dunia pemikiran Islam, kemunduran ekonomi, natijah kepada masalah sosial, dan ketidakseimbangan dalam agihan kekayaan dan perkhidmatan.
Selepas peristiwa 11 September, bermulalah fasa baharu penyatuan dua pandangan Barat dan Arab yang rasmi bertitik tolak daripada satu falsafah; menguruskan keganasan sebagai fenomena antarabangsa dan ancaman kepada dunia. Ia disahkan selepas pentadbiran Amerika Syarikat berjanji untuk melancarkan perang ke atas keganasan di mana dan pada bila-bila masa kewujudannya. Apa yang menarik adalah Amerika Syarikat banyak bergantung kepada elemen-elemen yang mendominasi dunia Arab dalam menganalisa punca-punca dan membentangkan bahawa keganasan berpunca daripada Islam dan kesarjanaannya yang mempunyai susur galur doktrin dan pemikiran yang mencetuskan dan menggalakkan keganasan. Dunia Islam dan dunia Arab bertanggungjawab dalam kebangkitan elemen-elemen permusuhan ini dalam bentuk sokongan yang tersusun. Ini berlaku pada masa dunia Arab begitu teguh dengan pendiriannya sebagaimana sebelum ini dengan tumpuan untuk menyampaikan penjelasan tentang dua elemen yang baharu; penindasan yang dilakukan oleh Israel baru-baru ini terhadap rakyat Palestin dan penaklukan Amerika Syarikat di Iraq, walaupun bercakap berkenaan penaklukan Amerika Syarikat ini selalunya ia kelihatan “malu-malu”.
Kemungkinan besar Barat telah memuktamadkan pandangan bahawa angin keganasan bertiup daripada Timur untuk mengganas di seluruh dunia, di mana saya sama sekali tidak bersetuju sepenuhnya dengan apa yang diputuskan oleh Barat terkait keganasan, falsafah, dan analisis puncanya. Saya kekal dengan visi yang lebih jauh dan lebih mendalam, yang saya fikir lebih wajar diangkat jika Barat ingin bersikap objektif dalam pandangannya tentang isu yang hangat ini.
Ancaman sebenar kepada seluruh dunia bukanlah pada analisis yang mendalam keganasan yang telah kita sebutkannya akan tetapi huru-hara global yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang mencetuskan keganasan dan sepenuhnya bertanggungjawab ke atasnya. Sekiranya apa yang diusulkan ini adalah tepat, Barat wajar menggunakan strategi lain untuk mendekati punca utama atau sebab-sebab lain yang mencetuskan mimpi ngeri ini, dan menyebarkannya ke segenap keluarga di setiap negeri dalam dunia, samada di Timur dan Barat.
Cukuplah untuk menyebutkan keganasan ini atau dipanggil terorisme, yang mana telah menjadi tumpuan pertama dan utama seluruh dunia, masih lagi kabur, dan menjadi urusan yang tidak ada ketentuan samada pada peringkat konsep keganasan dan terorisme, atau pada peringkat tempat dan masa. Tidak ada definisi yang spesifik pada istilah ini, yang telah diklasifikasi di seberang laut dan kemudiannya dihantar ke Timur sebagaimana dihantarnya barang yang berbahaya dan tercemar.
Istilah ini ditemani oleh kekacauan pemikiran yang banyak, campur aduk makalah, konsep yang terawang dan bertindih. Ia telah menjadi kelaziman bahawa konsep keganasan dikosongkan makna hakikinya jika diaplikasikan di satu negara, kemudian diisi dengan makna hakiki semula jika diaplikasikan di negara lain.
Ia adalah perang yang misteri menentang musuh yang misteri, yang tidak tahu bila dan di mana ia akan berhenti. Kekacauan ini bertambah dengan apa yang dilakukan oleh American Center for Research and Development bagi menyediakan pelan strategik untuk mengubahsuai kondisi sosial masyarakat Arab dan cuba untuk mencipta persekitaran Arab yang baharu yang bertepatan dengan kepentingan Amerika Syarikat, serta tidak membentuk halangan atau ancaman bagi hegemoni Zionis.
Pelan strategik tersebut berhasrat untuk menukar silibus pembelajaran di sekolah-sekolah, kolej, dan universiti umat Islam. Bahkan, satu pelan telah diletakkan di halaman web rasmi kerajaan, pelan untuk menukar kefahaman umat Islam tentang agama Islam.
Untuk menjadikan keadaan lebih parah – sebagaimana kata mereka – penaklukan Iraq dengan bantuan sekutunya British adalah peristiwa yang menjelikkan. Saya terkejut dengan bentuk penjajahan baharu ini, huru-hara dan ketidakstabilan di rantau ini, termasuk rasa ditindas dan ketidakadilan. Logik sekali dengan suasana kacau-bilau sebegini, fenomena keganasan berkembang dalam pelbagai manifestasi.
Natijah yang pertama adalah tumbuhnya permusuhan terhadap Amerika Syarikat dan Israel. Isu Palestin telah berlalu lebih setengah abad tanpa jalan penyelesaian dengan sokongan Amerika Syarikat dan British. Berapa lama pula masa yang diambil untuk Iraq dibebaskan sepenuhnya daripada cengkaman penjajahan yang sebenarnya dilakukan oleh Amerika Syarikat dan British?! Mungkin tidak keterlaluan jika kita katakan, pendudukan di Iraq telah mewujudkan iklim baharu yang menyebakan tumbuhnya gerakan Islam bersenjata di rantau Arab yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kita tidak sedar tentang tragedi menimpa sebahagian negara di rantau ini, disebabkan bangkangan yang kuat kepada Amerika Syarikat, ataupun lebih tepat kerana penaklukan Amerika Syarikat ke atas Iraq.
Wahai para ulama’, kertas kerja yang dibentangkan ini bertujuan untuk membaca fenomena keganasan dari aspek kaedah-kaedah akal untuk menjelaskan kemustahilan memperbetulkan keputusan tanpa memperbetulkan premis. Berdasarkan pandangan ini, saya harap anda tidak mentohmah saya dengan keterlaluan atau bermudah-mudahan jika saya berkata: Sesungguhnya punca utama bukanlah daripada dunia Arab mahupun dunia Islam, akan tetapi dunia Amerika dan Barat. Amat sukar untuk menanganinya fenomena keganasan keluar daripada konteks ini atau dipisahkan daripada keadaan sekelilingnya. Apa yang saya maksudkan, konteks selepas 11 September. Jika tidak, makalah ini dan natijahnya akan bercampur aduk.
Tanggungjawab untuk berlaku adil memerlukan saya untuk menegaskan hakikat-hakikat berikut pada penghujung ucapan saya ini:
Hakikat Pertama:
Kami – umat Islam – meraikan kasih dan persahabatan dengan Barat sebagai hubungan masyarakat, pertubuhan-pertubuhan kebajikan, juga individu yang bertukar-tukar rasa kasih dan persahabatan, disamping membuka pintu hati mereka seolah-olah kami bersaudara dan bersahabat. Atas perasaan inilah yang membawa saya mengunjungi Sant’Egidio di Rom, dan di Milan dua kali dalam tempoh kurang 2 bulan. Ini disebabkan apa yang saya rasakan tentang kejujuran dan kasih kepada umat Islam daripada pihak penganjur persidangan ini.
Hakikat Kedua:
Kami juga merasakan kasih sayang masyarakat Amerika Syarikat, dan kami amat maklum bahawa mereka yang mencipta kesengsaraan kepada kami di sana, dan memaksa pentadbiran Amerika Syarikat untuk melaksanakannya ke atas tamadun ketimuran kami hanyalah segelintir yang bekerja untuk kepentingan yang sempit. Masyarakat Amerika Syarikat juga mengharapkan – sebagaimana kami – alangkah baiknya lambakan bilion dolar itu dibelanjakan untuk memerangi pengangguran, kemiskinan, penyakit, begitu juga membantu fakir miskin, serba kurangan, dan hidup dalam kesengsaraan.
Hakikat Ketiga:
Kita mesti terus berkomunikasi dengan masyarakat Barat dan masyarakat awam Amerika Syarikat, serta berhati-hati untuk tidak bersikap pukul rata, mengheret kebencian dan permusuhan daripada sejarah silam yang telah terkubur dengan kebaikan mereka. Kita mesti sedar bahawa membangkitkan semula keganasan ini wajar bagi segelintir kumpulan kerana kehidupan, kebajikan dan pendapatan mereka bergantung kepada permusuhan serta ancaman yang mereka sendiri cetuskan, begitu juga peperangan, pertumpahan darah yang berterusan, dan lebih ramai mereka yang kurang upaya, cacat, anak yatim dan ibu tunggal.
__________________
Teks ini merupakan ucapan Fadhilatul Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib dalam sebuah forum di Rom semasa zamannya sebagai Presiden Universiti al-Azhar.