Majlis Hukama Muslimin (MHM) mengadakan Mesyuarat Tetap ke-16 di Manama, Bahrain. Turut hadir, Pengerusi MHM yang juga Syeikh Al-Azhar, Fadhilat Al-Imam Al-Akbar Prof Dr. Ahmad Al-Tayeb dan Ketua Gereja Katolik Vatikan, Paus Francis. Forum ini dihadiri kira-kira 200 pemimpin agama seluruh dunia.
Setiausaha Agung MHM, Tuan Yang Terutama Mohamed Abdelsalam menyatakan bahawa dialog bersejarah ini mencerminkan kebersamaan tokoh agama dan pemimpin dalam memikul tanggungjawab moral terhadap cabaran yang dihadapi oleh umat manusia.
“Dialog hari ini merupakan pesan yang kuat untuk memperkukuh wacana agama mengenai pentingnya membangkitkan rasa kebersamaan sesama manusia,” jelas Abdelsalam.
“Lebih-lebih lagi apabila ia adalah daripada tokoh-tokoh dan pemuka agama yang arif serta menjunjung nilai agama dalam menghadapi pelbagai cabaran kemanusiaan yang mengganggu ketenteraman hidup manusia di dunia,” sambungnya.
Menurut Abdelsalam, penyertaan tokoh dan pemimpin agama Katolik bersama para ulama’ dan sarjana Muslim yang menganggotai MHM pada Forum Dialog Bahrain, selain menjadi lambang ukhuwah intra-agama, ia juga menunjukkan kepentingan untuk semua para pemimpin agama duduk semeja bagi membincangkan cabaran abad ke-21.
Abdelsalam juga menjelaskan bahawa pertemuan antara Syeikh Al-Azhar dan Paus menjadi inspirasi bagi para pencinta keamanan di seluruh dunia. Pertemuan itu memberi motivasi dan galakan kepada mereka untuk terus mengambil tindakan sebenar untuk kemanusiaan dan mencipta masa depan yang lebih baik.
Abdelsalam mengetengahkan Dokumen Persaudaraan Insani yang ditandatangani oleh Fadhilat Al-Imam Al-Akbar Prof Dr. Ahmad Al-Tayeb dan Paus Francis di Abu Dhabi pada tahun 2019. Dokumen itu adalah asas untuk membina sebuah binaan yang besar, yang sudah mula muncul sedikit demi sedikit.
“Ini membuktikan bahawa dengan kebersamaan dan persaudaraan kita mampu melakukan sesuatu untuk dunia yang masih dipenuhi konflik dan polarisasi yang kuat. Kita mampu melakukan sesuatu dengan hati nurani, tiada tujuan lain kecuali untuk kebahagiaan dan kedamaian umat manusia,” katanya.