Pembangunan Belia Sebagai Fokus Bersama

Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslim (MHM) Tuan Yang Terutama Mohamed Abdelsalam telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Delegasi Gereja Ortodoks Rusia,Uskup Anthony Sevryuk. Pertemuan itu berlangsung di bersempena kehadiran mereka di Kongres ke-7 Pemimpin Agama Samawi dan Budaya yang berlangsung di ibu negara Kazakhstan, Nur-Sultan pada 14-15 September 2022.
TYT Mohamed Abdel Salam melahirkan rasa kagum dan bangga dengan hubungan baik yang wujud antara Gereja Ortodoks Rusia dan umat Islam. Tambahnya, pihaknya mahu terus meneroka kemungkinan kerjasama antara MHM dan Gereja Ortodoks Rusia terkait usaha menyebarkan keamanan dan toleransi, serta memperkukuh dialog antara agama.
“Persaudaraan sejati akan mampu mengatasi berbagai rintangan yang berat, apalagi jika terjalin persaudaraan antara mereka yang memiliki kepedulian terhadap kemanusiaan,” jelasnya di Nur-Sultan.
Beliau menambah bahawa persahabatan antara Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Al-Tayeb dan Pope Francis daripada Vatican adalah contoh jelas bagaimana persaudaraan dan kerjasama antara penganut agama yang berbeza boleh dilakukan hari ini dan bukanlah sesuatu yang mustahil. Kedua-dua pemimpin agama itu telah menandatangani Dokumen Persaudaraan Insani di Abu Dhabi pada 4 Februari 2019, yang merupakan pengisytiharan bersama ke arah keamanan antara manusia.
Abdel Salam menambah, MHM pada masa ini mempunyai keprihatinan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif global yang menyokong dialog antara agama dan keamanan khususnya dialog antara Timur dan Barat. MHM, antara lain, memulakan pembentukan Pemuda Perintis Keamanan yang telah dijalankan dengan kerjasama Gereja Katedral Canterbury di London. Aktiviti ini bertujuan untuk melatih dan membiasakan golongan muda untuk berdialog dan berkomunikasi dengan rakan yang berbeza agama serta budaya, yang kemudiannya menyumbang secara positif kepada dunia.
Delegasi Gereja Ortodoks Rusia menghargai peranan MHM khususnya Pengerusi MHM, Al-Imam Al-Akbar yang sentiasa mempromosikan nilai hidup bersama dan dialog. Pihaknya mengalu-alukan dan sedia bekerjasama dengan MHM berhubung permulaan dialog antara belia.
Pihak Rusia juga mengalu-alukan jemputan Syekhul Azhar kepada pemimpin agama-agama dunia untuk bertemu bagi membincangkan tanggungjawab dan peranan mereka dalam menangani pelbagai bencana moral dan alam sekitar yang berlaku hari ini. “Hari ini kita benar-benar perlu mendengar suara bijak agama yang membimbing kita dan dunia keluar daripada konflik dan krisis,” kata Uskup Anthony Sevryuk.
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram