Pengerusi Majlis Hukama Muslim (MHM) yang juga Fadhilat Al-Imam Al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad Al-Tayeb menerima kunjungan Presiden Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov di penginapannya di Manama, Bahrain pada Khamis (3/11/2022). Pertemuan itu berlangsung semasa lawatan rasmi kedua-dua pemimpin ke Bahrain untuk menghadiri Forum Dialog Bahrain bertajuk “Timur dan Barat untuk Kewujudan Bersama”.
Pengerusi MHM yang juga Syeikh Al-Azhar berkata, hubungan baik dalam bidang agama, kelimuan, dan budaya antara Al-Azhar dan Tatarstan harus dihargai. Menurutnya, Al-Azhar akan terus memaksimumkan langkah dan usahanya dalam menghidupkan budaya dialog dan komunikasi dengan pelbagai negara dan institusi bagi menyokong toleransi dan keamanan dunia.
“Forum Dialog Bahrain yang merupakan satu bentuk pengesahan peranan Al-Azhar bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan saling memahami, dan rasa persaudaraan bagi mencipta masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Rustam Minnikhanov melahirkan rasa gembira bertemu Sheikh Al-Azhar. Presiden Rustam menghargai usaha yang dilakukan oleh Sheikh Ahmad Al-Tayeb, baik melalui institusi Al-Azhar mahupun melalui Majlis Hukama Muslim, yang mempunyai pengaruh di seluruh dunia.
Dalam kesempatan itu, Rustam berkata, tahun ini rakyat Tatarstan memperingati 1,000 tahun kemasukan Islam ke negara ini. “Masuknya Islam ke wilayah Tatarstan tidak terlepas dari peranan ulama Al-Azhar, dan saat ini alumni Al-Azhar bertebaran di seluruh wilayah Tatarstan menyebarkan nilai kasih sayang, hidup bersama, dan nasionalisme,” katanya.
Di akhir pertemuan, Presiden Rustam menegaskan hubungan baik yang terjalin antara pihaknya dan institusi Al-Azhar memberi impak positif dalam menyebarkan fahaman wasathiyah Islamiah.
“Al-Azhar adalah sebuah institusi yang mempunyai pengalaman luas dalam mendidik dan mengajar ilmu-ilmu Islam serta menghantar duta-dutanya ke pelbagai pelusuk dunia untuk menyebarkan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.