Majlis Hukama’ Muslimin (MHM) mengutuk tindakan pihak berwajib Afghanistan yang melarang wanita mendapatkan pendidikan universiti di Afghanistan. Majlis secara mutlak menentang langkah sedemikian, yang merampas hak asasi wanita untuk pendidikan, di mana ia telah dilindungi oleh syariat Islam.
Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb selaku Syeikh Al-Azhar dan Pengerusi MHM mengkritik keras keputusan Afghanistan dengan menyatakan, “Saya memberi amaran kepada Muslim dan bukan Muslim untuk tidak mempercayai keabsahan larangan ini dalam Islam. Islam menolak larangan ini kerana ia bercanggah dengan hak kesetaraan yang dijamin Islam dalam pendidikan untuk lelaki dan wanita.”
Kenyataan itu turut disambut oleh Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga anggota MHM. Katanya, “Apa yang mereka lakukan langsung bertentangan dengan Islam, mencipta lebih banyak salahfaham dan mencetuskan Islamofobia; gabungan sikap prejudis, ketakutan dan kebencian kepada Muslim dan Islam.”
Pada 20 Dis, kerajaan Taliban mencetuskan kritikan global kerana menggantung akses ke universiti oleh pelajar perempuan sehingga diberitahu kelak.
Keputusan itu dibuat ketika ramai pelajar universiti sedang menduduki peperiksaan akhir penggal mereka.
Pada bulan Mac, Taliban mendapat kritikan daripada banyak kerajaan asing dan beberapa warga Afghanistan kerana menukar janji mereka sebelum ini untuk membuka semula semua sekolah menengah perempuan.