Islam Mengarahkan Untuk Memerangi Bukan Muslim?

Daripada lbnu ‘Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ؛ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إلَّا بِحَقِّ الْإِسْلَامِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Ta’ala.”

Hadis itu sahih, tidak ada keraguan tentang kesahihannya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim pada awalnya, dan terdapat dalam Musannaf Abd al-Razzaq, Musannaf Ibn Abi Syaibah, Sunnah al-Nasa’i, Sunnah al-Tirmizi, Sunnah. daripada Abi Dawud, Sunnah Ibn Majah, Sunnah al-Darimi, Sunnah al-Daraqutni, al-Tabarani, Al-Bayhaqi, Musnad Ahmad, Musnad al-Bazzar, dan Sahih Ibn Hibban.

Lafaz hadis adalah uqatil (أُقاتِل) dan bukan uqtul (أقْتُل). Uqatil adalah daripada kalimah qatala (قاتل) dan ia merujuk kepada muqatalah yang berasal daripada wazan mufa’alah yang memberi kefahaman wujudnya kesalingan samada melibatkan dua pihak atau lebih. Itu adalah asas dalam kaedah Bahasa Arab.

Hal ini turut disokong dengan penjelasan oleh Ibn Daqiq al-’Id sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Hajar al- ‘Asqalani: “Keharusan muqatalah [saling berperang] tidak membawa maksud keharusan qatl [membunuh]. Ini kerana muqatalah adalah mufa’alah, bermakna berlaku peperangan antara dua pihak. Ini tidak berlaku kepada qatl [satu pihak sahaja]. Dihikayatkan oleh al-Baihaqi daripada al-Syafie berkata: ‘Matlamat berperang bukanlah semata-mata membunuh. Oleh itu, boleh sahaja seseorang itu dibenarkan berperang, tetapi tidak dibenarkan membunuh.” (Lihat Fath al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 1/76)

Adapun manusia (al-nas) yang dimaksudkan adalah orang Musyrik yang memerangi orang Muslim, bukan Ahli Kitab. Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa ia merujuk kepada mereka yang diizinkan oleh Allah SWT untuk diperangi dalam kalangan orang kafir. Ia tidak bermaksud golongan kafir mu’ahad [ada perjanjian dengan Muslim] yang diperintahkan Allah SWT untuk memenuhi perjanjian mereka. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 19/20).

Siapakah orang kafir yang diizinkan Allah SWT untuk diperangi? Firman Allah SWT

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya; Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Surah al-Baqarah; 190)

Jika dihimpunkan nas Quran dan Hadis berkaitan, kita akan dapati bahawa terdapat banyak perintah Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW untuk berbuat kebaikan kepada bukan Muslim yang baik. Rasulullah SAW mempunyai jiran dalam kalangan ahli kitab yang dilayan baik oleh Baginda dengan memberikan hadiah kepada mereka, begitu juga sebaliknya mereka turut menghargainya dengan memberi Nabi SAW hadiah. Bahkan Rasulullah SAW mengutuk keras dan mengancam mereka yang menzalimi kafir mu’ahid.

Apatah lagi dalam hari ini, hubungan antara golongan Muslim dan bukan Muslim dalam sesebuah Negara dikira dalam konteks kewarganegaraan (muwatanah) yang mana masing-masing dilindungi di bawah satu perlembagaan yang sama. Ia berbeza dengan prinsip yang ada pada zaman silam iaitu golongan bukan Islam lebih dikenali sebagai zimmi (mendapat perlindungan daripada Muslim dengan bayaran cukai). Maka, sudah pasti hak bukan Muslim jelas terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Meletakkan Islam sebagai agama peperangan, tersebar dengan pedang, menyalah tafsirkan istilah jihad dan pelbagai konotasi negatif adalah momokan klasik yang sudah tidak terpakai. Ya, memang terbukti dalam sejarah Islam, terdapat banyak peperangan yang disertai namun sejarah juga membuktikan yang sebahagian besarnya adalah bersifat defensif. Contoh Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Pembukaan Makkah dan lain-lain. Hanya sebahagian kecil perang yang dimulakan oleh tentera Islam terutamanya sekitar 9-10 Hijrah, dengan etika peperangan yang amat ketat atas tujuan peluasan kuasa politik. Fakta ini dihuraikan dengan lebih terperinci oleh ramai tokoh termasuk orientalis Barat seperti Thomas Walker Arnold dalam bukunya The Preaching of Islam.

Justeru, tindakan memetik mana-mana ayat al-Quran atau hadis tanpa memahami kaedah Bahasa Arab dan tanpa meneliti keseluruhan tema berkaitan adalah tidak bertanggungjawab, dan amat gopoh dalam membuat penilaian.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram