Khutbah Jumaat Khas Emerging Peacemakers Forum Sentuh Isu Keamanan Sejagat

Peserta Emerging Peacemakers Forum (EPF) edisi kedua yang beragama Islam telah mengadakan Solat Jumaat di Chatêau Bossey, Geneva, pada hari ini. Khutbah Jumaat disampaikan oleh Ahmed Abou Tayel, ahli Jawatankuasa Eksekutif EPF dan alumni EPF edisi pertama. EPF edisi ke-2 diadakan dengan kerjasama Majlis Hukama Muslimin (MHM), Rose Castle Foundation, dan World Council of Churches.
Sebagai khatib, Ahmed Abou Tayel menyampaikan khutbah dengan tema “Islam dan Keamanan”. Dalam khutbahnya, beliau menjelaskan konsep keamanan menurut Islam, cara mencapai dan mewujudkan keamanan, baik di peringkat individu, keluarga, masyarakat, mahupun antarabangsa. Khatib juga menjelaskan falsafah keamanan dari sudut Islam dan perkara-perkara yang mendorong seseorang Muslim untuk terus berusaha mewujudkan dan merealisasikan keamanan dan sikap kenal dan bekerjasama sesama manusia.
Menurutnya, keadaan aman tidak semestinya bermakna tiada peperangan. Keamanan juga bermaksud keadaan harmoni, keseimbangan, perpaduan dan keharmonian, baik di peringkat keluarga, masyarakat mahupun antarabangsa. Mewujudkan keadaan aman seperti ini adalah kewajipan seorang Muslim, dengan mengambil kira bahawa salah satu objektif syariat Islam adalah untuk mewujudkan kehidupan manusia yang aman.
Selain menggalakkan umatnya menegakkan keadilan bagi merealisasikan dan mewujudkan kehidupan yang aman, Islam juga berpesan kepada mereka supaya bermaaf-maafan dan beramal soleh. Allah SWT menjanjikan pahala yang besar bagi mereka yang melakukannya. Khatib turut mengajak peserta untuk terus menghiasi diri dengan akhlak dan etika yang baik termasuk dengan menyebarkan keamanan di mana-mana dan pada bila-bila masa. Mereka diharapkan menjadi duta keamanan dan kedamaian menurut ajaran Al-Quran dan Hadith.
Di akhir khutbahnya, khatib membacakan doa agar Allah SWT menyuburkan keamanan kepada semua manusia dan memberi kekuatan kepada masyarakat untuk mengatasi pelbagai krisis dan ujian global yang telah berlaku, termasuk krisis keselamatan, konflik dan peperangan.
Peserta EFP yang bukan beragama Islam turut mendengar khutbah Jumaat sebagai penghormatan dan menghargai perbezaan agama, serta menjunjung nilai persaudaraan, toleransi dan hidup bersama.
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram