Setiausaha Agung Majlis Gereja Sedunia Ajak Belia Pelbagai Agama Saling Menghormati

Setiausaha Agung Majlis Gereja Sedunia (WCC) Dr. Jerry Pillay, adalah penceramah pada Forum Perintis Belia Pendamai (EPF) edisi kedua di Geneva, Switzerland. Beliau menyatakan bahawa belia adalah sumber harapan masyarakat dan negara kerana mereka mempunyai potensi yang besar dan idea yang bernas.
 
Setiausaha Agung WCC percaya bahawa dialog dan saling menghormati antara orang yang berbeza agama adalah cara yang berkesan untuk mewujudkan kehidupan yang aman. “Saya percaya dialog dengan orang lain yang berlainan agama termasuk menghormati kepercayaan mereka adalah cara paling berkesan untuk mewujudkan kehidupan yang aman,” katanya di hadapan 50 peserta EPF dari 24 negara di seluruh dunia.
 
Beliau juga percaya bahawa dialog akan dapat menghasilkan penyelesaian kepada banyak masalah manusia dengan berkesan dan menghapuskan ucapan kebencian, perkauman dan ketaksuban. “Persaudaraan manusia dan rasa menjadi satu keluarga besar manusia akan dapat membantu kita melawan nilai-nilai kehidupan yang tidak betul, menentang keganasan, dan sebagainya,” tambahnya.
 
 
Tambah beliau, rasa persaudaraan dan kebersamaan sebagai satu keluarga besar yang tinggal dalam satu rumah besar bersama iaitu bumi juga dapat mendorong kita untuk memahami krisis besar yang kita hadapi bersama iaitu perubahan iklim dengan pelbagai impak negatifnya.
 
Selain itu, para peserta juga diingatkan tentang perbezaan – termasuk perbezaan agama – bahawa perbezaan adalah sesuatu yang sebenarnya wujud, justeru ia tidak perlu dipersoalkan. Apa yang perlu dilakukan dengan perbezaan adalah saling menghormati, serta berpegang teguh kepada nilai-nilai yang diajarkan oleh Allah melalui ajaran agama. Budaya dialog dan menghormati perbezaan mungkin menghadapi cabaran daripada pihak yang hanya mahukan kerosakan. Oleh itu, sikap adil dan saksama terhadap sesama manusia diperlukan agar mampu melawan pihak yang inginkan kerosakan.
 
 
Forum Perintis Belia Pendamai berlangsung dari 6 hingga 14 Julai 2023 di Geneva, Switzerland. Ia diadakan atas inisiatif Majlis Hukama Muslimin yang dipengerusikan oleh Syeikh Al-Azhar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb, Rose Castle Foundation dan World Council of Churches.
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram