Teks Penuh Ucapan Syeikhul Azhar di Persidangan Majlis Keselamatan PBB

 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Ahli Majlis Keselamatan yang dihormati,
 
 
 
Salam sejahtera ke atas kamu, dan rahmat dan keberkatan Allah.
 
Hari ini saya bercakap dengan saudara-saudara daripada Mesir; tanah yang aman, tempat pertemuan agama-agama, tanah sejarah dan tamadun, tanah yang aman dan selesa. Saya sangat gembira kerana dapat bercakap di hadapan anda atas jemputan kerajaan Emiriah Arab Bersatu sebagai ahli yang dipilih dan Pengerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kali ini. Mesir dan juga negara-negara Arab serta dunia Islam tidak pernah berhenti berusaha dan menyumbang untuk menyebarkan keamanan kepada manusia dan menegakkan prinsip asas persaudaraan manusia, toleransi dan kehidupan bersama.
 
 
Saya ingin memberi penghormatan kepada prinsip yang saya dengar daripada kenyataan Setiausaha Agung PBB António Guterres dan kepercayaannya yang jelas terhadap peranan penting agama dan persaudaraan manusia dalam mewujudkan keamanan dunia.
 
Sidang hadirin yang dihormati,

Izinkan saya di awal ucapan ini memperkenalkan diri. Sebagai orang Timur yang beragama Islam, tidak terlibat dengan mana-mana aliran politik tertentu, mahupun dengan mana-mana ideologi kanan atau kiri tertentu, saya cintakan keamanan, mencari dan menginginkan keamanan, dan berharap agar semua manusia dapat diliputi keamanan. Saya merasakan dengan sepenuh hati, terdapat hubungan persaudaraan sesama manusia yang mengikat saya dengan semua manusia yang berbeza warna kulit, agama, kepercayaan, dan bahasa. Hal ini saya pelajari daripada agama Islam yang saya anuti dan dari kitab suci yang diturunkan Allah kepada para nabi dan rasul-Nya, yang terakhir ialah Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
 
 
Semua kitab suci samawi ini bersetuju bahawa Tuhan memuliakan dan memberi kelebihan kepada manusia berbanding kebanyakan makhluk-Nya yang lain. Semua kitab suci ini juga menyatakan bahawa Tuhan menciptakan manusia dalam keadaan yang berbeza bahasa, warna kulit, agama, dan kepercayaan. Perbezaan itu akan kekal sehingga akhir zaman nanti. Oleh itu, usaha untuk membawa manusia memeluk satu agama, atau berpegang kepada budaya atau tamadun yang sama, lambat laun pasti akan berakhir dengan kegagalan, kerana usaha tersebut bertentangan dengan kehendak Tuhan Yang Maha Pencipta, yang mengetahui sesuatu yang bermanfaat dan berfaedah kepada manusia.
 
Allah menyatakan dalam al-Quran bahawa Dia bertanggungjawab terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak memahaminya. (Surah Yusuf [12]: 21).
 
Berlainan pula percaturan Allah SWT dalam mencipta manusia dengan segala hak dan kewajipannya yang telah ditentukan dengan jelas oleh al-Quran. Hak dan kewajipan yang paling penting ialah hak kebebasan beragama, hak kebebasan berpendapat, dan kewajipan untuk bertanggungjawab secara individu, keluarga dan sosial. Oleh itu, al-Quran melarang segala bentuk perampasan hak-hak ini atau pencabulan kesuciannya. Malah, al-Quran melarang perbuatan memaksa manusia menukar agama dan kepercayaan mereka. Seseorang yang membaca Al-Qur’an secara objektif dan saksama akan menemukan makna mendalam dari ayat-ayat berikut:
 
“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam),” (Surah al-Baqarah [2]: 256).
 
“…Maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.” (Surah al-Kahfi [18]: 29).
 
“Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).” (Surah al-Ghasyiyah [88]: 22)
 
Orang yang membaca hadis Nabi saw. akan menemui mesej yang sangat jelas yang menekankan kebebasan beragama:
 
‌وَمَنْ ‌كَرِهَ ‌الْإِسْلَامَ ‌مِنْ ‌يَهُودِيٍّ ‌وَنَصْرَانِيٍّ، فَإِنَّهُ لَا يُحَوَّلُ عَنْ دِينِهِ
“Mereka yang tidak menyukai Islam-baik Yahudi dan Kristian-tidak boleh disuruh menukar agama mereka.”
Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam Musannaf, no. 10944
 
Daripada asas hukum perbezaan ini, adalah sangat logik bahawa hubungan yang mesti dibina antara orang yang berlainan agama, bahasa, budaya dan tamadun adalah hubungan keamanan dan kedamaian yang disebut oleh al-Quran sebagai hubungan taaruf (berkenal-kenalan) dan ta’awun (bekerjasama).
 
Allah SWT berfirman:
 
 
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ
 
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)”
(Surah al-Hujurat [49]: 13)
 
dan menjadikannya sebagai peraturan Islam dalam hubungan antarabangsa antara negara. Dalam konteks teori al-Quran tentang hubungan antarabangsa, tidak ada tempat untuk teori pertembungan, atau konflik, atau teori tentang kaum, tentang penguasaan orang kulit putih ke atas negara lain, dan tentang penjajahan dan eksploitasi kekayaan mereka. Hubungan keamanan adalah satu-satunya hubungan manusia yang diiktiraf oleh Islam dan semua agama-agama samawi terdahulu.
 
Oleh itu, bukanlah satu sikap yang adil dan betul untuk mengatakan bahawa Islam adalah agama mata pedang dan agama peperangan. Bacalah sejarah, anda akan mendapat maklumat bahawa peperangan pada pandangan Islam ada syarat yang luar biasa dan hanya darurat untuk mempertahankan diri, tempat tinggal, tanah air, kekayaan dan kehormatan. Juga tidak benar untuk mengatakan bahawa Islam adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap kemunculan keganasan. Hakikatnya ialah mereka yang paling bertanggungjawab terhadap kemunculan keganasan, langsung tiada kaitan dengan Islam itu sendiri atau dengan agama lain; ia adalah politik penguasaan global, falsafah materialisme, dan amalan ekonomi yang mengabaikan nilai moral.
 
Sidang hadirin yang dihormati,
 
Saya tidak berniat dalam ucapan saya, untuk bercakap tentang Islam. Saya lebih suka menjemput anda untuk memadamkan api peperangan yang telah tercetus dalam beberapa dekad yang lalu dan masih berkobar di rantau kita, di negara kita, sehingga hari ini.
 
Saya bercakap tentang perang Iraq dan perang Afghanistan dan selepas dua puluh tahun tetap berbekas di hati sakitnya, begitu jua  kesakitan dan kesedihan yang ditanggung.
 
Saya bercakap tentang Syria, Libya dan Yaman. Kemusnahan tamadun mereka yang telah berakar umbi selama beribu-ribu tahun. Saya bercakap tentang konflik bersenjata di negara-negara ini, tentang pelarian kanak-kanak dan wanita yang tidak berdaya mencari perlindungan daripada peperangan yang kejam dan ganas.
 
Saya bercakap tentang Al-Quds dan tempat-tempat suci di Palestin dan penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman pihak berkuasa dan keganasan penjajah yang zalim. Saya amat kesal dengan sikap berdiam diri masyarakat dunia berhubung hak rakyat Palestin, walaupun saya juga menghargai langkah yang diambil oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 15 Mei lalu, yang mengingatkan sanubari kita tentang 75 tahun penderitaan Palestin. Maka, saya menjemput Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat dunia untuk segera—hari ini, bukan kemudian—mengiktiraf sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Al-Quds sebagai ibu kotanya. Saya juga mengajak masyarakat dunia untuk menjaga Masjidil Aqsa daripada pencabulan yang dialaminya hari demi hari.
 
Saya bercakap tentang perang yang sedang berkobar di sempadan Timur Eropah dan ketakutan, kengerian, dan kebimbangan tentang masa depan yang mengembalikan dunia kepada zaman pra-sejarah akibat perang tersebut. Saya menyeru masyarakat dunia untuk segera menghentikan malapetaka ini dan melindungi orang yang tidak bersalah daripada pertumpahan darah dan kemusnahan tanah air mereka.
 
Saya bercakap tentang krisis pelarian yang melarikan diri dari peperangan. Saya bercakap tentang hak mereka, keselamatan mereka, dan kewajaran memberi mereka perlindungan. Itu semua hak mereka yang dijamin oleh ketentuan agama-Nya, tanpa mengira agama pelarian, walaupun mereka tidak beragama.
 
Saya bercakap tentang kemusnahan institusi keluarga dan merampas hak anak-anak untuk menikmati pelukan ibu yang melahirkan mereka. Saya bercakap tentang kerosakan iklim, pencemaran, banjir dan kebakaran hutan.
 
Saudara yang mulia.
 
Saya tidak pernah meragui bahawa krisis yang dialami oleh orang-orang zaman kita di Timur dan mula menembusi dengan kuat di Barat ini, tidak akan berlaku sekiranya tamadun dan budaya moden kita tidak keterlaluan dalam menafikan peranan agama dan tidak dibuang begitu saja ajaran agama, dan belajar daripada wahyu Tuhan berkenaan kesucian nyawa, nilai keadilan, dan kepentingan keadilan dalam menjaga kestabilan individu dan sosial. Kami orang yang beriman kepada Tuhan, tidak mempunyai pilihan dalam menangani krisis ini selain daripada terus menyeru kepada keamanan dan kasih sayang untuk disebarkan kepada sesama bangsa di segenap pelosok dunia. Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan ucapan kebencian berlaku kepada sesama manusia, membiarkan eksploitasi agama menyemarakkan api peperangan dan menyemai ketakutan dan kengerian dalam hati mereka yang selamat.
 
Inilah yang Al-Azhar telah dan akan terus lakukan dengan kerjasama Gereja Katolik, semua gereja Barat dan Timur, serta institusi agama lain demi menghidupkan budaya dialog dan mengenali antara satu sama lain dalam kalangan penganut agama. dan untuk memperkukuh nilai-nilai keamanan dan kewujudan bersama. Malah, bersama saudara saya yang mulia Pope Francis—semoga Tuhan Yang Maha Kuasa memberinya kesihatan—kami menawarkan Dokumen Persaudaraan Manusia untuk Keamanan Dunia dan Hidup Bersama kepada dunia, dari Abu Dhabi, pada 4 Februari 2019. Kami sering menekankan kepentingan nilai persaudaraan manusia sebagai asas untuk keamanan dan keselamatan antarabangsa melalui beberapa persidangan pemimpin agama di Kazakhstan, melalui Forum Timur dan Barat di Bahrain, dan melalui persidangan lain di Asia, Afrika dan Eropah.
 
Al-Azhar juga, dengan kerjasama Majlis Hukama Muslim, Gereja Katolik, Gereja Canterbury, dan institusi agama lain, mengadakan pertemuan para pemimpin agama untuk membincangkan krisis ini dan memastikan tanggungjawab bersama dalam menanganinya, terutamanya berkaitan isu perubahan iklim dan peningkatan kadar konflik dan peperangan.
 
Saya fikir anda bersetuju dengan saya bahawa usaha ini memerlukan sokongan pemimpin politik dan pembuat polisi dalam masyarakat antarabangsa untuk benar-benar menghasilkan natijah yang diharapkan dan mencapai matlamat bersama untuk mewujudkan keamanan dan keselamatan antarabangsa. Kita harus merealisasikan cita-cita ini bersama-sama di dunia nyata, bukan hanya dalam keputusan dan saranan yang tidak dipatuhi dan tidak diambil kira.
 
Akhir kata, izinkan saya menegaskan sekali lagi bahawa pertemuan kita pada hari ini bukanlah satu kemewahan, tetapi keperluan mendesak yang timbul daripada rasa prihatin terhadap masa depan umat manusia. Pertemuan ini penting bagi mencari penyelesaian kepada krisis kemanusiaan kompleks yang mula menular dan merebak ke hampir semua arah serta membunyikan loceng amaran sekiranya dibiarkan tanpa kawalan seperti hari ini. Sememangnya langkah yang baik pemimpin Majlis Keselamatan PBB memilih persaudaraan manusia sebagai tema perbincangan ini. Saya rasa tidak ada pilihan lain yang lebih berkesan untuk mengatasi krisis kita sekarang selain persaudaraan manusia, yakni sebuah syurga yang hilang.
 
Terima kasih atas perhatian tuan-tuan dan puan-puan. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram